POLITICS
Mohd Azizi tarik balik saman berhubung penamatan keahlian Bersatu

Peguam Mohd Azizi (gambar) berkata pihaknya menarik balik saman itu kerana ia menjadi akademik memandangkan PRK Nenggiri telah berlangsung dan mempunyai ADUN baharu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim menarik balik saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, bagi mencabar penamatan keahlian beliau daripada Bersatu.
Ringkasan AI
- Mohd Azizi menarik balik saman kerana ia menjadi akademik selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri berlangsung dan ADUN baharu dilantik.
- Mahkamah memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM50,000 kepada Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, dan RM50,000 kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
- Mohd Azizi sebelum ini mencabar pemecatan keahliannya dalam Bersatu, mendakwa ia tidak sah dan berniat jahat, serta mempersoalkan pindaan Perlembagaan Bersatu yang dianggap tidak berperlembagaan.
"Pihak kami juga telah bertungkus lumus menyiapkan kes ini memandangkan ia melibatkan speaker yang merupakan satu jawatan penting dan boleh memberi kesan kepada badan perundangan negara selain kes ini membabitkan landskap pemilihan wakil rakyat," katanya.
Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai defendan, turut memohon Mohd Azizi membayar kos RM250,000 kepada kedua-dua anak guamnya.
"Saman ini tiada asas dan penghujungnya akan gagal. Ini terbukti dengan penarikan balik saman ini," kata Chetan.
Hakim Roz Mawar kemudian membatalkan saman itu dan memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM50,000 kepada Mohd Amar dan RM50,00 untuk Muhyiddin dan Hamzah.
Mohd Azizi selaku plaintif memfailkan saman pemula pada 24 Jun tahun lepas, dengan menamakan Muhyiddin, Hamzah dan Mohd Amar sebagai defendan.
Beliau memohon pengisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahlian beliau dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun 2024, adalah tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang.
Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu tidak sah dan batal serta pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat.
Menurut plaintif, pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong pesaing politik, adalah tidak berperlembagaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami