KUALA LUMPUR: “Terima kasih Malaysia.”

Itu ucapan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang turut memohon maaf atas segala kekurangannya sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutan sebelum ini.

Beliau menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan, meskipun dalam masa yang singkat, pelbagai usaha telah dijayakan oleh pihaknya dalam kementerian tersebut.

"Dalam masa yang singkat, pelbagai perkara dapat kita jayakan bersama untuk warga Wilayah seperti sasaran vaksinasi, memperjuangkan nasib gelandangan, membantu perniagaan kecil dan banyak lagi,” ujarnya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Agong perkenan peletakan jawatan Muhyiddin, melantik beliau 'caretaker' PM

BACA: '15 Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan, saya telah hilang majoriti' - Muhyiddin

Pada masa sama beliau menzahirkan harapan bahawa apa jua keadaan yang berlaku, Malaysia akan terus mara ke hadapan.

“Malaysia akan terus mara ke hadapan kerana kebersamaan dan keprihatinan rakyatnya,” tambahnya lagi menerusi ciapan di Twitter sebentar tadi.


Muhyiddin Yassin yakin segala yang berlaku ketentuan Maha Esa

Untuk rekod, Kuala Lumpur menjadi antara ibu kota terawal di negara ini mencapai imuniti kelompok apabila lebih 80 peratus populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

Berdasarkan laporan vaksinasi setakat Sabtu (14 Ogos), kira-kira 85 peratus populasi dewasa di Kuala Lumpur lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

BACA: Kuala Lumpur capai imuniti kelompok, siap-sedia beralih ke Fasa 3 PPN - Annuar 

Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Isnin.

Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari 2020 ekoran krisis politik selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, seluruh anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga melepaskan kedudukan masing-masing.


AWANI Ringkas: Perkembangan positif PICK mula dilihat | Kuala Lumpur capai 80 peratus imuniti kelompok