MALAYSIA
Pelajar jatuh asrama: Jawatankuasa khas semak aspek keselamatan, lawatan mengejut ke sekolah

Mohd Azam berkata jawatankuasa itu akan dianggotai pelbagai pihak termasuk Suhakam, PIBG serta NGO berkaitan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyemak semula aspek keselamatan sekolah, termasuk pengendalian kes buli dan gangguan seksual.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad berkata jawatankuasa itu akan dianggotai pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
“Dengan adanya jawatankuasa khas ini, kita mahu melihat pandangan berbeza untuk memperkukuh garis panduan keselamatan sekolah dan asrama, termasuk prosedur menangani buli serta gangguan seksual,” katanya dalam sidang media khas di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan telah mula membuat semakan terhadap semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan."Antara langkah segera termasuk mengkaji semula garis panduan sedia ada, menggugurkan sebarang prosedur yang lapuk, serta menambah baik peraturan bagi meningkatkan keselamatan pelajar.
"Selain itu, semua Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarahkan untuk melaksanakan lawatan mengejut ke sekolah dan asrama, siang atau malam, bagi menilai tahap keselamatan serta memantau kepatuhan terhadap SOP," tegasnya.
Dalam pada itu katanya, KPM juga melaksanakan audit keselamatan sekolah secara menyeluruh melalui Jemaah Nazir yang perlu melaporkan dapatan kepada kementerian setiap minggu untuk tindakan lanjut.
“Kita tidak mahu melihat insiden sebegini berulang. Usaha ini penting untuk memastikan anak-anak kita belajar dalam persekitaran selamat dan kondusif,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar Tingkatan Tiga jatuh dari aras tiga asrama sebuah sekolah harian di Sabak Bernam, Selangor.
Difahamkan pelajar itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan otak, kini ditidurkan di Hospital Sungai Buloh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami