KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang telah gagal berfungsi seperti yang diharapkan.

Justeru itu, Timbalan Presiden UMNO berpandangan, kerjasama Kerajaan dan Pembangkang perlu dinilai semula dan telah tiba masanya Kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu MoU tersebut matang pada Julai ini.

Kenyataan Tok Mat itu susulan sesi Dewan Rakyat semalam menyaksikan usul Kerajaan untuk melanjutkan, antara lain, peruntukan seksyen 4(5) SOSMA 2012 telah gagal diluluskan, berdasarkan kiraan undi majoriti mudah.

"Kegagalan usul  ini adalah sesuatu yang tidak dijangka. Ini menunjukkan sikap sambil lewa, bahawa rang undang-undang sepenting ini tidak di uruskan dengan strategik sebelum dibentangkan.

"Ini agaknya, semua beranggapan bahawa sudah wujud persefahaman yang jelas antara Kerajaan dan Pembangkang dalam hal-hal atau usul-usul yang melibatkan reformasi undang-udang dan dasar khususnya seperti yang dizahirkan dalam Perkara 3 Memorandum Persefahaman antara Kerajaan dan Pembangkang.

"Semua yang berlaku ini menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman Kerajaan dan Pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan," katanya dalam muat naik di akaun Facebook miliknya, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tok Mat yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme MoU sebegini adalah sangat berisiko.

"Apa lagi bila Pakatan Harapan sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh di percayai dan memang dah jadi kebiasan mereka untuk memungkiri janji.

"Sesi Parlimen petang semalam terbukti mereka tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka.

"Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada Kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan.