KUALA LUMPUR: Ketidakstabilan kepimpinan negara yang wujud hari ini berlaku kerana tiadanya akta yang menghalang perbuatan lompat parti yang jelas mencabul mandat yang diberikan rakyat kepada mereka yang melakukannya.

Kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, kerana ketiadaan Akta Antilompat Partilah yang melahirkan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan-pembangkang sebagai tindakan segera mewujudkan kestabilan politik negara.

Pada akhirnya, jelas beliau, apa yang penting bukanlah untuk parti-parti politik tetapi demokrasi negara dan kepercayaan rakyat seluruhnya terhadap sistem pentadbiran kita.

“Kita berhadapan dengan keadaan di mana jumlah pengundi sekarang telah meningkat hampir 50 peratus, mereka nak pastikan bahawa apabila mereka keluar mengundi nanti ia tidak menjadi satu perbuatan yang membazir atau menyesal keluar beratur panjang berpanas terik.

“MoU ini perlu dilihat dalam konteks titah nasihat Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk menstabilkan keadaan dan sebahagian mekanisme yang bagi pendapat saya perlu dikembangluaskan dalam pelbagai keadaan yang ada.”

Harapnya, MoU ini akan menjadi episod dalam lipatan sejarah negara yang positif dan dikaji kebaikan-kebaikannya dan segala masalah yang dihadapi dalam usaha menstabilkan keadaan politik.

Beliau juga melihat di masa hadapan mungkin MoU sedemikian tidak lagi diperlukan apabila telah terlaksananya Akta Antilompat Parti yang berjaya memainkan peranannya menjamin tiada lagi perbuatan yang mengganggu perjalanan pentadbiran negara itu.

“Tapi 18 perkara yang telah kita persetujui ini sebenarnya bagi saya yang sama penting ialah memastikan institusi Parlimen itu bebas dengan adanya RUU perkhidmatan Parlimen sekali lagi.”

Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru yang turut disertai Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dan dihoskan oleh Ibrahim Sani, di sini:

Adakan MoU kerana tiada Akta Antilompat Parti untuk jamin kestabilan - Fahmi


Dialog Tiga Penjuru: Segerakan Akta Anti Lompat Parti