SEBERANG JAYA: Pas akan menunggu UMNO selesai mengadakan mesyuarat dengan lima pemimpin tertinggi (‘Top 5’) parti itu untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum memuktamadkan pendirian mereka berhubung kerjasama kedua-dua parti menerusi Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak mahu terburu-buru selain mengambil pendekatan menunggu serta sentiasa terbuka mengadakan rundingan dengan mana-mana parti termasuk UMNO.

Menurut beliau, masih panjang masa untuk Pas dan UMNO mengadakan rundingan kerana sehingga kini tarikh pembubaran Parlimen dan PRU15 masih belum diputuskan.

“Kita (Pas) tunggu dahulu keputusan MT (Majlis Tertinggi) UMNO… mereka pun belum bermesyuarat lagi, kita ini sangat general, kita sedia untuk berunding dengan mana-mana parti politik di Malaysia, kita terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti termasuk pembangkang, termasuk dengan UMNO,” kata Takiyuddin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai rundingan MN selepas menghadiri majlis pelancaran Projek Pengukuhan  Bekalan Elektrik  melalui Sambungtara Talian Atas di Pulau Pinang, di sini, pada Khamis.

Beliau turut memberitahu, perbincangan dan rundingan mengenai MN sentiasa diadakan pihaknya bersama-sama dengan parti lain dan tidak bergantung pada tarikh pembubaran Parlimen semata-mata.

Sebelum ini, Takiyuddin berkata, Pas kekal menganggap UMNO sebagai rakan kerjasama dan tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan dan konsep khemah besar pada PRU15.

Keputusan itu selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang memutuskan parti itu komited dan konsisten dengan agenda penyatuan ummah .

Dalam masa sama, beberapa pimpinan UMNO sebelum ini, mendesak Majlis Kerja Tertinggi  (MKT) menutup terus pintu rundingan dengan Pas pada PRU15.