Muafakat Nasional (MN) telah bersetuju untuk menerima penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerjasama itu demi penyatuan orang Melayu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dijalankan secara teliti dan mendalam oleh Jawatankuasa Pemandu MN yang dipengerusikan bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 6 Ogos lalu.

"Sejak tertubuh, kita bersyukur kerana MN semakin diterima rakyat pelbagai kaum dan diperlihatkan dengan kemenangan demi kemenangan dalam siri-siri PRK yang diadakan.

"Alhamdulillah, terbaharu, usaha memantapkan MN terus mendapat suntikan tambahan apabila kita dimaklumkan oleh YAB Presiden PPBM (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kesediaan parti itu untuk turut menyertai MN," katanya.

MN kata beliau lagi, telah mendapat jawapan rasmi daripada Bersatu untuk tujuan itu.

"Jawapan rasmi kesediaan Bersatu menyertai MN telah diterima pada 18 Ogos yang ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri," katanya.

Malah Biro Politik dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ujarnya, telah membincangkan perkembangan terbaharu ini pada 23 Ogos lalu.

"UMNO tambahnya, amat prihatin dan mengambil berat akan usaha menyatupadukan orang Melayu dan membina kekuatan kelompok teras Melayu dan Islam.

"Ia adalah kewajipan dan keutamaan yang menjadi asas kepada perjuangan UMNO itu sendiri.

"Atas dasar itu, UMNO telah bersetuju supaya MN menerima penyertaan PPBM dan ingin melihat dengan penyertaan tersebut, penyatuan dan perpaduan orang Melayu bertambah mantap lagi.

"Selaras dengan Piagam MN yang termaktub sebelum ini," jelas Annuar lagi.