KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah mengadakan pertemuan bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada Isnin.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, banyak perkara telah dipersetujui untuk mengukuhkan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat bermakna," katanya melalui laman media sosial Facebook tanpa mendedahkan butiran perkara yang dibincangkan.

Pertemuan itu turut disertai beberapa pemimpin kedua-dua parti itu namun di dalam gambar disertakan tidak menunjukkan kelibat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan.

Antara yang hadir adalah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Naib Presidennya, Datuk Radzi Jidin.

Sebelum ini timbul persoalan mengenai kerjasama antara Pas dan UMNO susulan beberapa kenyataan dikeluarkan oleh Takiyuddin yang menolak tanggapan UMNO sebagai musuh dalam menghadapi PRU15.

Ini selepas kenyataan Muhyiddin yang secara terbuka melabel UMNO sebagai musuh utama Bersatu dalam PRU15.

Pertemuan yang turut disertai beberapa pemimpin kedua-dua parti itu berlangsung di sebalik spekulasi bahawa Pas mahu terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRU15, serta menolak tanggapan UMNO sebagai musuh.

Muhyiddin melalui perkongsian di Facebook pagi ini, tidak menjelaskan butiran langsung perbincangan itu, namun menyatakan banyak perkara dipersetujui kedua-dua pihak hasil pertemuan itu.

Takiyuddin turut mengeluarkan yang menegaskan, Pas tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama.