KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet beliau meletakkan jawatan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Muhyiddin dan seluruh anggota Kabinet bertanggungjawab terhadap tindakan memalukan itu.

"Kenyataan yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong hari ini menunjukkan bahawa Muhyiddin secara sengaja menipu Parlimen berkenaan pembatalan Ordinan Darurat.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguh, bersambung jam 10 pagi Isnin

"Beliau (Muhyiddin) perlu tahu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan ordinan tersebut.

"Namun, pengumuman yang dibuat seolah-olah beliau mempunyai lebih kuasa daripada Yang di-Pertuan Agong sewaktu Proklamasi Darurat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


[TERKINI] Ordinan Darurat | Kerajaan tidak nasihat Agong untuk isytihar darurat baharu

Malah, Dr Mahathir berkata, tiada usaha daripada kerajaan untuk membetulkan atau menghentikan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan daripada membuat kenyataan itu walaupun Muhyiddin duduk di hadapannya.

Malah, Perdana Menteri juga, tegas Dr Mahathir,  tidak memberi apa-apa penjelasan pada hari-hari berikutnya.

Takiyuddin pada Isnin mengumumkan Ordinan Darurat telah terbatal pada 21 Julai 2021. Pengumuman berkenaan telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada Ahli Parlimen. 

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita susulan kenyataan yang dibuat Takiyuddin itu. 


Ini 3 perkara penting penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan

Sementara itu, sidang petang Mesyuarat Khas Parlimen yang sepatutnya berlangsung pada jam 5.15 petang, Khamis ditangguhkan dan akan bersambung pada jam 10 pagi, Isnin. 

Astro AWANI secara terus-menerus membawakan semua yang berlaku di Dewan Rakyat di laman mikro Sisi TV Parlimen.


[TERKINI] Ordinan Darurat | Kerajaan tidak nasihat Agong untuk isytihar darurat baharu