KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menasihatkan ahli parti itu supaya tidak melakukan sebarang usaha untuk ‘menebuk’ kapal yang dikuasai parti itu.

Menurutnya, sekiranya kerajaan negeri pimpinan Pas ada kelemahan, ahli tidak seharusnya menumpang untuk meruntuhkan kerajaan tersebut.

Tegasnya, setiap kelemahan perlu dibantu dan di situlah pentingnya peranan cawangan untuk membantu kerajaan negeri.

“Ada juga ahli parti nak jadi penebuk kapal. Ini tidak boleh. Jangan. Kita kena pertahan parti kita perintah.

“Sebarang kelemahan kita tolong. Jangan dedah kelemahan itu…selesaikan kelemahan itu, jangan menolong musuh dan lawan.

“Ini terpakai di semua peringkat , khususnya calon muslimat yang menang. Muslimat kita tahu, peranan wakil rakyat sangat terbatas, ada tugas lain yang besar.

“Sebab itu, cawangan di tempat muslimat menang, perlu berfungsi memainkan peranan untuk membantu sebagai wakil rakyat.

“Begitu juga kawasan wakil rakyat yang lemah, tiada kemampuan…ini penting untuk menjaga kerajaan yang memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan kerajaan tidak boleh bertindak zalim dan membalas dendam kepada musuhnya.

Menurutnya, Pas sudah berulang kali ditindas dan dizalimi namun parti itu tetap bersabar dan menganggap segalanya sebagai “pendidikan dalam perjuangan”.

“Alhamdulillah, kita, pas dirasakan dengan kezaliman-kezaliman yang banyak, menjadi mangsa kezaliman sepanjang perjuangan kita, mangsa penindasan, dipinggirkan dan sebagainya.

“Ini mendidik kita, bila kita jadi kerajaan, kita jangan buat zalim kepada orang. Ini sangat penting. Jangan balas dendam, ini yang diajar nabi kita, Nabi Muhammad.

“Kita sabar, kita anggap itu pendidikan dalam perjuangan kita. Jangan jadi macam Pakatan Harapan, membawa naratif, memutar belit kezaliman.

“Tak nampak zalim, padahal buat zalim, meuar-uarkan keadilan, tata kelola yang baik dan sebagainya,” ujarnya.