KUALA TERENGGANU: Pas enggan meletakkan calon sekadar 'pacak', sebaliknya perlu mempunyai potensi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata meskipun terdapat wakil daripada sayap-sayap parti menyeru pimpinan memilih calon daripada kalangan mereka pada PRU15 nanti, namun keupayaan calon itu untuk memenangi pilihan raya harus diberi keutamaan.

"Saya dengar dewan-dewan ini banyak minta kerusi hendak bertanding pilihan raya, memang kita hendak suruh bertanding pilihan raya, tetapi kita hendak letak calon yang mesti lah calon yang menang, bukan calon yang 'pacak-pacak' tinggal, ikut suka kamu lah hendak menang atau kalah, asalkan contohnya Dewan Muslimat atau Dewan Himpunan.

"Kita letak calon untuk menang dan berperanan. Kita tahu banyak calon-calon kita yang berperanan, ada (dalam) kalangan ulama, profesional dan pemimpin masyarakat," katanya dalam ucapan penangguhan Presiden pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023 di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata sayap-sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), seharusnya terus memainkan peranan menarik rakyat untuk menyokong Pas pada PRU15.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Marang tersebut berkata sehingga ke hari ini Pas sentiasa diberi peranan untuk menyatupadukan ummah, termasuk dalam kalangan parti-parti politik yang 'datang' kepada Pas apabila mempunyai masalah.

"Bila UMNO dalam keadaan lemah mengajak PAS menyertai kerajaan campuran, 1974 ditubuhkan Barisan Nasional (BN), UMNO sanggup 'lempar' simbol kapal layar, kita (PAS) tinggal (simbol) bulan dan pakai simbol dacing sama-sama. (BN) menang besar (pada PRU) 1974," katanya.

Selain itu Abdul Hadi turut mengajak ahlinya mengenang jerit perih Pas dalam perjuangan politik selama ini sehingga hari ini berjaya menyertai Kerajaan Persekutuan.

"Pas tidak pernah gagal melalui pasang surut pilihan raya, rebah bangun kerajaan memerintah, dikacau luar dan dalam, dikacau dengan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), peristiwa Memali serta berlaku krisis dalaman. Pas tidak rebah.

"Pernah juga berlaku krisis dalaman Pas...berlaku serpihan (tetapi) tidak menghancurkan. Laksana satu dahan dicantas, 10 tunas tumbuh lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi dalam kenyataan hari ini berkata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan kekal sebagai Setiausaha Agung PAS dan bekas Naib Presiden parti Datuk Iskandar Abdul Samad kekal sebagai Bendahari.

Abdul Hadi berkata berdasarkan peruntukan Fasal 25 (4), dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu turut mengekalkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya parti.

-- BERNAMA