KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Pas belum mencapai tahap tamkin (berkuasa) sepenuhnya dalam kerajaan Pusat, tetapi parti Islam itu telah berjaya menguasai empat kerajaan negeri, ketika ini.

Presiden Pas itu berkata, parti itu memiliki jumlah besar dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang membawa makna, langkah mereka ke Parlimen telah berjaya mendapat dukungan rakyat.

"Namun, langkah kita ke Putrajaya masih lagi terhalang.

"Maka, kita wajib berpegang kepada para ulama yang menegaskan - Apa yang tidak dapat dilakukan semuanya, jangan pula ditinggalkan semuanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam, hari ini.

Selain kepimpinan Pas, perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-69 turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

BACA: Muktamar Pas: Penyatuan ummah tak jejas hak bukan Melayu - Abdul Hadi

Berucap lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pencapaian yang dikecapi Pas itu perlu dijadikan sebagai pangkalan yang kuat bagi meneruskan perjuangan untuk mencapai kemenangan sepenuhnya.

"Maka, kita hendaklah mengisi kemenangan yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T ini dengan sifat rabbani yang sentiasa berhubung dengan Allah S.W.T, melaksanakan keadilan dan berkebajikan, dalam negara yang berdaulat dan berkuasa melaksanakan kewajipan dengan sempurna, serta berwawasan akhirat," tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Abdul Hadi berkata kerusi Parlimen Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menunjukkan peningkatan sebanyak 140 peratus, iaitu 43 kerusi berbanding 18 kerusi pada PRU14.

Katanya, parti di blok kerajaan ketika ini iaitu UMNO, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Dap mengalami penurunan kerusi berbanding PRU14.

"Dalam PRN di enam buah negeri, Pas mencapai tahap kemenangan 83 peratus dengan mendapat kerusi DUN tertinggi sebanyak 105 kerusi berbanding parti-parti lain.

"Manakala, kerusi yang dimenangi keseluruhan oleh Perikatan Nasional (PN) lebih tinggi berbanding Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), dengan PN menang sebanyak 146 kerusi dan PH-BN hanya mendapat 99 kerusi," katanya.

Selain itu, ujar beliau Pas telah menjalankan 'post-mortem' untuk melihat aspek kelemahan yang perlu diperbaiki dan aspek positif yang perlu dikekalkan serta ditingkatkan.

Jelas Abdul Hadi, antara yang telah dikenal pasti ialah kelemahan menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan, walaupun berlaku peningkatan yang mendadak.

"Aspek positif pula, antaranya mengekalkan sokongan pengundi muda, kekuatan media sosial, prestasi kerajaan negeri, imej bersih dan bebas rasuah, penambahan ahli dan cawangan, kesediaan jentera serta kualiti calon," kata beliau.