KUALA LUMPUR: Pas memberi jaminan bahawa penyatuan ummah yang sedang diperjuangkan oleh parti itu tidak akan menjejaskan hak orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Berucap ketika merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-69, Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu konsisten mengajak semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh masyarakat untuk memperkukuhkan perpaduan ummah.

Ini termasuk, katanya mengajak orang bukan Islam yang tidak ekstrem mengikut acuan Sirah Nabawiyah.

"Seruan penyatuan ummah ini tidak menjejaskan hak orang bukan Melayu dan bukan Islam, bahkan kita akan terus memelihara kebebasan beragama dan memberikan keadilan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita wajib menjaga perpaduan ummah yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam, hari ini.

Selain kepimpinan Pas, Muktamar Tahunan Pas ke-69 turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap lanjut, Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, kepentingan orang Melayu-Islam semakin hari semakin dipijak jika tidak bersatu, selain hak keistimewaan agama Islam, orang Melayu serta bumiputera semakin dicabar.

Dalam masa yang sama, Abdul Hadi berkata parti itu perlu melakukan usaha penting dan berat dalam menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Jelas beliau, Pas telah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu-Islam dalam PRU15 lalu, sekali gus menyaksikan Pas menang 43 kerusi Parlimen, yang merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah 71 tahun penubuhannya hasil kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

"Dalam masa yang sama meningkatkan kefahaman poltiik orang Melayu-Islam yang sangat lemah. Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan bijaksana," tambah beliau.

Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober di Shah Alam.