Skip to main content
Advertisement

Bisnes

PM Anwar gesa lebih banyak syarikat Malaysia perluas operasi di Arab Saudi

PIF merupakan antara dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia, dengan aset di bawah pengurusan melebihi US$900 bilion. Peranannya sebagai pemacu Wawasan 2030 Arab Saudi turut membuka ruang kerjasama yang luas dengan rakan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, Yasir Othman Al-Rumayyan serta delegasi. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak syarikat Malaysia mengembangkan operasi di Arab Saudi serta meneroka kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Anwar yang menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, Yasir Othman Al-Rumayyan serta delegasi berkata syarikat milik penuh PIF, RUA AlHaram AlMakki sedang meneroka kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bagi pembangunan berorientasikan transit di kawasan Jabal Al Kaabah, Makkah.

RUA AlHaram AlMakki ialah pemaju induk bagi pembangunan King Salman Gate di kota suci itu.

“Potensi kerjasama ini adalah manifestasi keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia di samping membuka peluang baharu kepada perniagaan dan tenaga mahir kita,” menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran di laman X.com hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau dan Al-Rumayyan bertukar-tukar pandangan mengenai peluang untuk memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Arab Saudi khususnya dalam sektor pembinaan, infrastruktur, pengurusan kemudahan, tenaga dan ekonomi halal.

PIF adalah antara dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia, dengan aset di bawah pengurusan melebihi US$900 bilion. Peranannya sebagai pemacu Wawasan 2030 Arab Saudi turut membuka ruang kerjasama yang luas dengan rakan antarabangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement