Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara 74 Ketua Bahagian yang diumum menang tanpa bertanding pada Pemilihan UMNO Bahagian kali ini.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri dan anggota Parlimen Pekan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan tanpa pencabar.

Selain Najib, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menang tanpa bertanding masing-masing di Bahagian Bagan Datuk dan Sembrong.

Beberapa lagi 'heavyweight' pemimpin UMNO turut menang tanpa bertanding di bahagian masing-masing antaranya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, Datuk Seri Azalina Othman (Pengerang), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai), Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang).

BACA: Anak Najib menang tanpa bertanding jadi Ketua Pemuda Pekan

Selain itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Jeli, Datuk Seri Ismail Sabri (Bera), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Datuk Bung Moktar (Kinabatangan).

Keputusan diumumkan malam tadi oleh Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh yang turut menang tanpa bertanding di Bahagian Masjid Tanah.

Pemilihan UMNO bahagian akan berlangsung 30 Jun ini, manakala pemilihan Sayap UMNO di peringkat bahagian dan pusat berlangsung hari ini selepas mesyuarat perwakilan di kesemua 191 bahagian diadakan serentak bermula 9 pagi Sabtu.

Mengenai pemilihan sayap UMNO peringkat pusat, Ab Rauf berkata setakat 9 malam tadi sebanyak 35 peratus undian dari kesemua bahagian telah diterima ibu pejabat UMNO dan beliau menjangkakan sekurang-kurangnya jumlah itu mencecah 60 peratus pada tengah malam tadi. -- Bernama