SHAH ALAM: Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik lima wanita sebagai menteri.

Yang Dipertuanya, Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, sungguhpun belum mencapai sasaran sebanyak 30 peratus, namun ia merupakan peningkatan hampir 18 peratus pemimpin wanita diangkat menjadi jemaah menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh Anwar itu adalah amat dialu-alukan memandangkan hanya terdapat 30 orang 'wakil rakyat' daripada kaum wanita.

"Perdana Menteri telah menunjukkan kepekaan kepada permintaan wanita dan telah melantik mereka yang sangat berkaliber, berpengetahuan dan berkemahiran sebagai menteri yang menerajui portfolio masing-masing.

"Kami di NCWO tidak ragu-ragu menteri wanita yang baharu dilantik ini akan meningkatkan prestasi jemaah menteri dan kementerian yang dipimpin oleh mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Sharifah berkata, NCWO gembira dan teruja apabila muka baharu dalam kalangan menteri wanita diberi portfolio penting seperti pendidikan dan kesihatan.

Jelas beliau, pemilihan Hannah Yeoh selaku Menteri Belia dan Sukan adalah tepat, meskipun diberi tanggungjawab berat dan mencabar untuk pembangunan segmen penduduk yang dilihat amat penting.

Selain itu kata beliau, NCWO meyambut baik pelantikan dua menteri wanita berpengalaman iaitu Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Datuk Seri Azlina Othman Said sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.

Tegas beliau, NCWO beriltizam akan bekerjasama dengan semua menteri untuk kesaksamaan gender, pembangunan wanita, keluarga, kanak-kanak dan masyarakat demi kemajuan negara.

"Selain itu, NCWO juga mengalu-alukan pelantikan Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sebagai Menteri Agama kerana beliau banyak membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan syariah yang dihadapi golongan wanita.

"Secara keseluruhan mereka yang dipilih bukan sahaja berkaliber dan mempunyai track record amat baik, malah kami di NCWO berpuas hati dengan pilihan menteri yang inklusif daripada segi umur, etnisiti, gender dan wilayah.

"Selain itu, menteri lelaki yang dipilih juga memiliki track record dan prestasi amat baik serta inklusif daripada segi gender dan peka tentang keperluan wanita," katanya. -Sinar Harian