Rutin Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai penceramah, imam dan mentahnik di Masjid Pulau Melaka atau digelar Masjid Tok Guru berakhir apabila beliau dimaklumkan keputusan keluarganya tidak membenarkan lagi beliau terlibat.

Nik Omar ketika memaklumkan perkara itu semasa menyampaikan kuliah di Wisma Tok Guru di Salor hari ini kelihatan sayu dan sugul memandangkan tugas sebagai imam dan penceramah berkenaan telah digalas beliau selepas pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 2015 lalu.

Beliau yang memohon maaf kepada hadirin yang hadir mengakui sedikit terganggu dengan perkara tersebut dan menjadikan beliau hilang fokus untuk meneruskan kuliah tersebut serta memerlukan rehat buat seketika.

Menceritakan keadaan tersebut, Nik Omar dimaklumkan mengenai keputusan itu melalui adiknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz selepas ahli Parlimen Bachok itu mengimamkan solat Subuh dan seterusnya memberikan kuliah kepada hadirin.


“Subuh tadi, adik ambo, ustaz Nik Abduh, dia paka (terus) naik, dia jadi imam dan terus bagi kuliah. Selepas itu dia salam. Jadi dia pun beritahu, keputusan keluarga, ambo tidak dibenarkan jadi imam dan bagi kuliah di situ.

“Maknanya ini harga yang terpaksa ambo tanggunglah. Jadi hari ini, ambo kena rehat, tapi Insya-ALLAH, bila ambo pegi, ambo tak undur ke belakanglah. Cuma untuk pagi ini, ambo kena mintak maaf banyak-banyak,” katanya.

Nik Omar turut memberitahu, sejak pemergian arwah bapanya, rutin sebagai imam, penceramah dan pentahnik bayi dibahagikan secara tidak rasmi di antara keluarga mereka.

Kebiasaannya beliau akan menyampaikan kuliah Maghrib pada malam Rabu dan Khamis, selain kuliah subuh pada pagi Jumaat.

Selain itu beliau juga akan membaca wirid khusus yang telah ditulisnya sendiri dengan bantuan arwah Tok Guru semasa hayatnya.

Selepas itu, akan diadakan pula tazkirah khusus Jumaat dan disambung dengan tahnik bayi.

Bagaimanapun, kini beliau terpaksa redha dengan keputusan tersebut dan berharap orang ramai dapat memberikan masa kepadanya.


Dalam kuliah berkenaan, beliau turut memaklumkan dua penceramah lain bagi menggantikan beliau.

Ketegangan antara Nik Omar dan keluarga mula tercetus apabila beliau membuat keputusan untuk bertanding di Dun Chempaka atas tiket Pakatan Harapan walaupun dikatakan tidak mendapat kebenaran ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Reaksi kepada keputusan abangnya itu, Nik Abduh dalam tulisannya berkata, hati ibunya terluka akibat 'tembakan' yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lalu oleh seorang lelaki bernama Ikram, merujuk kepada keputusan Nik Omar untuk menyertai Ikram.

Nik Abduh berkata ibunya juga terluka kerana Nik Omar memilih untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menahan salah seorang anaknya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lebih 15 tahun lalu.

Dalam PRU Itu, Nik Omar tewas kepada Pas melalui penyandang, Ahmad Fathan Mahmood dengan hanya memperoleh 2,418 undi.