Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali hari ini mencadangkan dialog antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad diadakan di kaca televisyen untuk tontonan umum.

Cadangan ini katanya adalah untuk mengelakkan kekecohan seperti yang berlaku pada majlis 'Dialog PM Bersama NGO' anjuran Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) pagi tadi.

"Kalaulah semua pihak setuju, perdana menteri ke, Tun Mahathir ke, kita boleh adakan satu sesi siaran berdialog mereka di televisyen. Buatlah satu moderator untuk mempengerusikan majlis. Contohnya seperti rancangan Selamat Pagi Malaysia.

"Atau mungkin Astro AWANI boleh menghoskan dan menyiarkan rancangan berdialog Najib dan Tun Mahathir. Ianya lebih baik disiarkan seperti ini kerana dapat elak berlaku rusuhan yang berlaku pagi tadi.

"Pagi tadi ada kumpulan ini, ada kumpulan itu, susah nak berdialog kalau ada rusuhan. Baik buat satu siaran televisyen bagi program dialog seperti ini," tambah beliau ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Video Datuk Ibrahim Ali mencadangkan sesi dialog Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Mahathir Mohamad pada pagi tadi di Dialog PM bersama NGO di PWTC.

Majlis siang tadi dijadualkan bermula pukul 10 pagi dengan wakil NGO, aktivis dan orang ramai boleh bertanya kepada Najib mengenai semua perkara termasuk isu-isu kontroversi seperti 1MDB dan urusan pembelian tanah oleh Tabung Haji.

Penganjur bagaimanapun membatalkan program itu kerana berlaku kekecohan di luar Dewan Tun Hussein Onn sehingga ada individu yang ditahan polis.

BACA : #Nothing2Hide: Dialog PM bersama NGO dibatalkan

BACA : Dr M datang tidak dijemput, kata penganjur #Nothing2Hide

BACA : #Nothing2Hide: Penganjur akan akan umum tarikh baharu 'Dialog PM bersama NGO'