Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyifatkan Pakatan Harapan (PH) kini menjadi mangsa kepada kejayaan sendiri.

Dalam pidatonya ketika merasmikan Konvensyen Nasional Amanah ke-4, Mohamad menegaskan langkah reformasi yang dilaksanakan kini digunakan oleh pembangkang untuk menentang kerajaan.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan kebebasan yang dimiliki pembangkang pada hari ini tidak diperolehi ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Ini adalah kelebihan Pakatan Harapan, kerana ia memastikan demokrasi yang matang dan dinamik hanya hanya boleh dilaksanakan apabila kerajaan mampu menghadapi kritikan secara terbuka.

“Ini adalah sebahagian daripada janji Pakatan Harapan untuk adil kepada semua termasuk pembangkang,” katanya.

Beliau juga menegaskan PH tidak akan mengulangi kegagalan BN membebaskan media dan ruang demokratik semasa memerintah Malaysia.

Mohamad menjelaskan Amanah memahami bahawa perubahan-perubahan yang dilakukan ini belum memadai khususnya bagi rakyat yang telah menanti sekian lama.

Namun, jelas Mohamad, kejayaan-kejayaan yang berlaku dalam tempoh belum sampai dua tahun PH memerintah, adalah permulaan kejayaan yang sangat besar.

Beliau juga menjelaskan, Amanah sebagai parti komponen PH akan berterusan memastikan berlakunya peningkatan usaha kerajaan untuk membaik pulih negara dan taraf hidup rakyat dan melaksanakan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu.