KUALA LUMPUR: Pandangan parti tidak membolehkan Parlimen terbubar, kata Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib.

Jelasnya, pandangan parti adalah mewakili parti, bukannya Ahli Parlimen.

Tegasnya, pandangan Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa Presiden UMNO telah bercanggah adalah seiring dengan pandangan Tan Sri Annuar Musa dan beberapa lagi ahli UMNO

"Dalam keadaan ini, kita perhatikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membawa agenda yang berbeza.

"Perkara pertama yang kita perlu tahu bahawa, pandangan parti tidak membolehkan Parlimen terbubar. Pandangan parti adalah mewakili parti dan tidak Ahli Parlimen.

"Kedua, Ahli Parlimen tertakluk kepada peraturan dan syarat di Parlimen. Jika Ahli Parlimen UMNO mahu ikut keputusan parti dengan menggunakan budi bicara, maka ada prosedurnya.

"Ahli Parlimen perlu membuat statutory declaration (akuan berkanun) bertulis dan menyerahkannya kepada Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong.

"Prosesnya akan kembali sepertimana Pakatan Harapan (PH) jatuh dahulu. Dan persoalannya, mengapa Perikatan Nasional (PN) harus ikut jatuh seperti PH?

"Gesaan untuk bersidang adalah desakan Ahli Parlimen pembangkang yang berterusan menggunakan istilah atau pendekatan politik populis, iaitu kerajaan gagal. Ini adalah tidak tepat dan tidak benar.

"Kerajaan PN harus bijak untuk tidak terperangkap dengan desakan ini. Itu yang paling penting," katanya ketika dihubungi pada Sabtu. 

BACA: Desak PM berundur: Kenyataan Ahmad Zahid pelanggaran titah Agong - Pemuda PN

BACA: Mesyuarat MKT UMNO: Ahmad Zahid perlu berjiwa besar, letak jawatan demi parti - Zahidi

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional Backbenchers (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kewajipan menjadikan keputusan parti sebagai panduan sekiranya wujud undian pada sidang Parlimen disifatkan bercanggah dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Jelasnya, pencerahan daripada kepemimpinan UMNO sebelum ini menyatakan bahawa, Ahli Parlimen parti itu boleh menggunakan budi bicara mereka dalam sidang Parlimen.

Kata Shahidan lagi, kebebasan itu termasuk sekiranya wujud pengundian bagi menentukan kelulusan sesuatu rang undang-undang atau urusan lain sepanjang persidangan dewan.

Dalam pada itu, kata Kartini, UMNO sebenarnya akan lebih baik dan bermakna jika Ahmad Zahid meletak jawatan kerana telah menangguhkan Persidangan Agung UMNO (PAU) dan pemilihan parti bagi memilih pengganti pemimpin senior yang rata-rata terpalit dengan kluster mahkamah.

Sebelum ini, Ahli MKT UMNO Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin mendakwa, 30 Ahli Parlimen UMNO termasuk yang berstatus menteri dan timbalan menteri telah bersetuju bahawa Ahmad Zahid perlu melepaskan jawatannya bagi memastikan UMNO tidak kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Tegas Zahidi, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar seperti pemimpin-pemimpin parti itu sebelum ini untuk mengundur diri susulan beberapa kontroversi membabitkan beliau, selain sedang berhadapan kes rasuah di mahkamah.