KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menolak desakan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletakkan jawatan.

Menerusi kenyataan bersama, Pemuda PN berkata tindakan tersebut merupakan satu bentuk pelanggaran kepada titah Yang di-Pertuan Agong, yang telah menitahkan agar semua bentuk politiking dihentikan bagi memastikan urusan negara difokuskan kepada memulihkan keadaan negara.

Kenyataan itu diwakili bersama oleh Ketua Pemuda PN,  Khairil Nizam Khirudin; Ketua ARMADA Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Rizal Johari; Ketua Pemuda Parti Progresif Sabah (SAPP), Jamain Sarudin; serta Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pusat, Wong Chia Zhen.

"Berdasarkan kenyataan pihak Peguam Negara bertarikh 8 Julai 2021 (semalam) dan inisiatif yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan dalam mengurus dan menangani pandemik COVID-19 ini, Pemuda PN akan terus memberikan sokongan dan dokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri dan barisan anggota Kabinet yang juga dianggotai oleh sembilan menteri penuh dan lapan timbalan menteri daripada UMNO terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kita wajib bersatu dan bekerjasama memfokuskan segala daya dan usaha untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok bagi membolehkan kita kembali meneruskan kehidupan seharian seperti biasa," menurut kenyataan itu, hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG]: Politik Malaysia pasca Mesyuarat MKT UMNO

BACA: UMNO tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta - Zahid Hamidi

BACA: Keputusan MKT UMNO bukan bermaksud tarik sokongan kepada kerajaan PN - Najib Razak

Jelas mereka lagi, Pemuda PN akan terus menjadi entiti semak dan imbang terhadap dasar-dasar dan polisi kerajaan bagi membela nasib rakyat dalam menangani pandemik COVID-19.

Justeru, Pemuda PN menyeru agar semua pihak menghentikan politiking yang disifatkan menyusahkan rakyat.

Selain menarik balik sokongan UMNO, Ahmad Zahid sebelum ini turut meminta Muhyiddin supaya berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad dengan memberi tumpuan kepada usaha menangani wabak COVID-19 sebelum mengembalikan semula mandat kepada rakyat setelah negara berjaya mencapai imuniti kelompok.

[TERKINI] Sidang media Presiden UMNO