KUALA LUMPUR: Beberapa ahli Parti Cinta Sabah (PCS), di bawah pimpinan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, mengisytiharkan peletakan jawatan mereka, hari ini.

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ewon Ebin yang juga Naib Presiden PCS berkata, keputusan itu dibuat selepas aktiviti parti itu seolah-olah terhenti, selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya negeri September 2020.

Beliau yang mengetuai gerakan itu berkata, mereka mendapat tekanan daripada ahli-ahli parti dan penyokong akar umbi yang ingin mengetahui hala tuju parti tersebut.

“PCS bernasib teruk semasa pilihan raya negeri Sabah. Sejak itu, tiada komunikasi atau mesyuarat dalam kalangan Ahli Majlis Tertinggi semasa, jawatankuasa bahagian dan sayap Pemuda dan Wanita.

"Bahagian parti sepatutnya disusun semula daripada DUN ke peringkat parlimen seperti yang diputuskan dan diluluskan semasa mesyuarat agung dwitahunan tahun lalu.

“Tetapi ia tidak dilaksanakan, (meninggalkan) parti (tanpa) pembahagian dan hala tuju. Tambahan pula, keahlian baharu (permohonan) tidak diproses,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.

Ewon berkata, susulan rasa tidak puas dan kekecewaan mereka, beberapa bekas ahli majlis tertinggi PCS, ketua bahagian dan ahli biasa mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam parti sebelum ini untuk menyertai parti lain.

Tambahnya, keputusan itu dibuat dengan berat hati kerana mereka menyayangi PCS, namun merasakan mereka perlu meneruskan perjuangan.

"Buat masa ini, adalah memadai untuk mengatakan bahawa perjuangan kita tidak berakhir di sini," katanya sambil menambah bahawa lebih ramai pemimpin parti dijangka meletak jawatan dalam masa terdekat.

Antara mereka yang keluar parti ialah naib presiden yang dipilih, ahli majlis tertinggi, penyelaras, timbalan setiausaha agung, ahli majlis tertinggi, penyelaras bahagian, pemimpin dan jawatankuasa pusat kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita.