ALOR SETAR: Semangat dan kekuatan ahli-ahli Pas dalam meneruskan perjuangan parti menegakkan agama Islam menjadikan mereka mempunyai banyak musuh berbanding parti-parti lain.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kejayaan parti itu mentadbir tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain berada di dalam Kerajaan Persekutuan, hanya satu permulaan kepada langkah yang lebih jauh.

"Oleh kerana itu, musuh parti kita paling ramai daripada parti lain, kita paling mencabar daripada parti lain, dan kita parti yang paling lama melangsungkan perjuangan sehingga ke hari ini.

"Parti lain, apabila pemimpin mati, parti mati, apabila pemimpin lemah, parti pun lemah. Kita, apabila ada pemimpin yang lemah, ada pemimpin mengambil alih (parti untuk) melangsungkan perjuangan.

"Ini kehebatan kita," katanya ketika berucap merasmikan Bangunan Pentadbiran Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyatakan bahawa, parti itu tidak pernah sesekali takut akan kekalahan meskipun Pas bukan sebuah parti yang kaya raya.

Namun, atas dasar mempertahankan dan meneruskan perjuangan parti, Pas berjaya mengharungi sebuah perjuangan yang panjang meskipun pemimpin bersilih ganti. 

Politik | PAS adalah parti politik yang paling banyak musuh - Hadi Awang


"Kita biasa kalah. Dia yang selalu menang, apabila kalah sekali, (jadi) lembik lutut. Jangan berasa hina jika melihat musuh kamu dalam keadaan begitu, mereka sakit, berasa takut, takut kalah.

"Kita tak takut, kita terus langsungkan perjuangan sehingga akhir hayat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan ahli-ahli Pas untuk sentiasa beristiqamah selain tidak terpengaruh atau terikut-ikut dengan golongan yang disifatkan sebagai 'tidak mengerti'.

Golongan 'tidak mengerti' ini, jelasnya, adalah kumpulan yang mahukan kemenangan dengan cepat serta telah berputus asa bahawa Islam mampu menang.