MALAYSIA
Gempa bumi Segamat: Jawatankuasa Teknikal Gempa Bumi wajar diaktifkan - JMG

Komuniti sekitar Segamat hadir pada Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Daerah Segamat 2025 hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Teknikal Gempa Bumi wajar diaktifkan semula bagi menyelaras usaha kajian dan penilaian semula risiko gegaran di Malaysia susulan insiden gempa bumi baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Teknikal Gempa Bumi dicadang diaktifkan semula untuk menyelaras kajian dan penilaian risiko gegaran susulan insiden gempa bumi di Segamat.
- Kajian semula terhadap sesar lama di Malaysia diperlukan, termasuk analisis kadar pergerakan dan magnitud berpotensi serta pemetaan microzonation di kawasan berisiko.
- Enam gegaran lemah direkodkan sejak 24 Ogos, menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan teknikal dan kerjasama antara agensi seperti JMG, MetMalaysia, JUPEM dan NADMA.
"Cadangan jawatankuasa ini penting bagi memperincikan semula data sedia ada (aktiviti tektonik dan sesar yang berpotensi aktif)," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Jawatankuasa teknikal itu aktif kali terakhir pada 2020.
Zamri berkata siri gegaran di Segamat baru-baru ini merupakan isyarat penting yang tidak dijangka, apabila aktiviti tektonik mencetuskan proses pelarasan semula tekanan dalaman kerak bumi di sepanjang zon sesar berkenaan sehingga mengakibatkan gempa bumi.
Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan untuk mengkaji semula semua sesar lama di Malaysia, yang dianggarkan berusia antara 60 juta hingga 200 juta tahun.
"Antara tumpuan utama kajian ialah meneliti semula data sejarah ciri atau sifat sesar lama, menentukan kadar pergerakan (slip rate) serta panjang sesar bagi menganggar magnitud berpotensi," katanya.
Menurutnya, kajian microzonation dan pengemaskinian pemetaan sesar di kawasan berpotensi gegaran juga penting kerana impak gempa bumi berbeza mengikut lokasi walaupun dengan magnitud sama.
Beliau berkata JMG telah memulakan kerja lapangan di Johor dengan tumpuan awal di Segamat sebelum diperluaskan ke kawasan lain yang dikenal pasti berisiko.
Zamri turut menjelaskan terdapat beberapa kawasan utama di Malaysia yang mempunyai potensi risiko, selain faktor rentas sempadan iaitu gempa bumi dari negara jiran yang boleh memberi kesan dalam negara.
Beliau berkata kepakaran geodesi daripada JUPEM amat penting bagi menentukan sama ada berlaku perubahan atau peralihan kadar pergerakan sesar selepas gegaran berlaku.
Sejak 24 Ogos lalu, enam gempa bumi lemah direkodkan, dengan gegaran pertama dikesan di Segamat pada magnitud 4.1, disusuli gegaran bermagnitud 2.8 pada pagi hari sama.
Gegaran seterusnya direkodkan pada 27 Ogos (3.2), 28 Ogos (2.5), 29 Ogos (3.4) dan 30 Ogos (2.7).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami