Pas telah memilih seorang veteran pegawai tentera sebagai calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya di sini berkata, nama Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dipersetujui oleh seluruh pimpinan Pas Pusat serta Majlis Syura untuk menjadi calon PRK Port Dickson.

Pengumuman ini sekaligus menepis spekulasi bahawa mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertanding atas tiket Pas.

"Calon Pas (Nazari), seperti yang dikatakan presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), mungkin tidak mudah untuk menang tapi ia tidak mustahil.

"Tuan-tuan dan puan-puan pernah dengar pasukan bola sepak Brazil pernah kalah dengan Belgium? Atau Jerman kalah kepada Korea Selatan?

"Atau anda pernah dengar bahawa kancil kalah lumbah dengan kura-kura. Jadi tidak mustahil calon kita boleh kalahkan dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya dalam majlis di Markas Pas di sini.

BACA: Pas umum bertanding PRK Port Dickson

Sementara itu, Nazari dalam ucapannya melahirkan rasa gembira kerana dipilih untuk mewakili Pas dalam PRK ini.

"PAS sudi pilih saya yang kecil ini. Saya bukanlah sehebat lawan saya namun saya yakin bahawa Allah bersama perjuangan kita," katanya.

PRK Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober ini manakala penamaan calon adalah pada Sabtu, 29 September dan hari undi awal adalah pada 9 September.

Setakat ini, lima nama telah mengesahkan bahawa mereka akan bertanding.

Mereka adalah calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nazari, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad atas tiket Bebas, Ahmad Kamarudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang lagi calon Bebas, Stevie Chan.

Dikatakan salah seorang bekas pemimpin reformasi, Datuk Mohd Ezam Mohd Nor juga akan bertanding atas tiket Bebas.

Jika Ezam sah bertanding, PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi tersebut pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Danyal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor.