Ringkasan AI
- Lebih 80 peratus pesakit kanser hati di Malaysia dikesan pada peringkat lewat, mengehadkan pilihan rawatan dan peluang kelangsungan hidup.
- Kementerian Kesihatan Malaysia melancarkan Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026–2030 untuk memperkukuh saringan awal dan pengurusan penyakit hati.
- Pelan ini memberi tumpuan kepada saringan bersasar, rawatan bersepadu, serta pemantauan pesakit bagi meningkatkan akses dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan hati.
KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus pesakit kanser hati di Malaysia dikesan pada peringkat lewat, sekali gus mendorong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh usaha pengesanan awal menerusi Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026–2030.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak 86 peratus pesakit lelaki dan 83 peratus pesakit wanita didiagnosis pada peringkat tiga atau empat, sekali gus mengehadkan pilihan rawatan serta mengurangkan peluang kelangsungan hidup.
Menurut beliau, kanser hati merupakan kanser kelima paling utama di Malaysia, dengan karsinoma hepatoselular (HCC) atau hepatoma merangkumi secara purata 70 peratus daripada keseluruhan kes kanser hati primer.
Bagi tempoh 2022 hingga 2024, kadar diagnosis kanser hati direkodkan sebanyak 8.8 bagi setiap 100,000 lelaki berbanding 2.6 bagi setiap 100,000 wanita.
Dr Dzulkefly berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menganggarkan 28.2 peratus atau 6.7 juta penduduk dewasa di Malaysia menghidap penyakit hati berlemak berkaitan metabolik (MAFLD), dengan hampir 700,000 daripadanya berada pada risiko sederhana atau tinggi mengalami fibrosis hati.
Sehubungan itu, beliau berkata pelan hala tuju berkenaan memberi tumpuan kepada saringan bersasar terhadap golongan berisiko tinggi, termasuk individu menghidap diabetes, obesiti serta jangkitan hepatitis B dan C.
Katanya, pendekatan saringan berdasarkan tahap risiko individu lebih sesuai dilaksanakan berbanding saringan menyeluruh terhadap populasi bagi memastikan penggunaan sumber kesihatan lebih berkesan dan berhemah.
“Apa yang kita mahu lihat menerusi inisiatif kesihatan hati ini ialah peluasan keseluruhan kemudahan, bermula daripada penjagaan primer sehingga rawatan tertiari, termasuk pusat kecemerlangan kita.
“Ini merupakan proses penjagaan pesakit secara berterusan, bermula daripada saringan, diagnosis, rawatan sehingga pemantauan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026–2030 sempena Bulan Kesedaran Kanser Hati di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), di sini, pada Ahad.
Dr Dzulkefly berkata pendekatan bersepadu itu bertujuan mengatasi pengurusan penyakit hati yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan, dengan menghubungkan fasiliti KKM, institusi kesihatan lain serta sektor swasta.
Sementara itu, menurut siaran media KKM, pelan hala tuju berkenaan menggariskan lima tonggak utama merangkumi promosi dan pencegahan, saringan serta stratifikasi risiko fibrosis, survelan dan diagnosis, rawatan serta penjagaan sokongan, selain registri, pemantauan dan penilaian.
Pelaksanaannya turut melibatkan imunisasi hepatitis B, pengesanan dan rawatan hepatitis, pengurusan faktor risiko metabolik serta pemantauan penyakit hati bagi mengurangkan risiko perkembangan kepada sirosis dan kanser hati.
Dr Dzulkefly turut menyatakan hasrat membawa agenda kesihatan hati ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) sebagai kesinambungan usaha Malaysia mengetengahkan isu kesihatan paru-paru di peringkat antarabangsa.
KKM berharap pelaksanaan inisiatif itu dapat memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan hati, mempercepat diagnosis serta membolehkan rawatan dimulakan lebih awal bagi meningkatkan kelangsungan hidup pesakit.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah peratusan pesakit kanser hati di Malaysia yang dikesan pada peringkat lewat?
A: Lebih 80 peratus pesakit kanser hati di Malaysia dikesan pada peringkat lewat, dengan 86 peratus pesakit lelaki dan 83 peratus pesakit wanita didiagnosis pada peringkat tiga atau empat. - Q: Apakah fokus utama Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026–2030?
A: Pelan hala tuju ini memberi tumpuan kepada saringan bersasar terhadap golongan berisiko tinggi, termasuk individu menghidap diabetes, obesiti serta jangkitan hepatitis B dan C, serta memperkukuh pengesanan awal dan penjagaan berterusan pesakit hati. - Q: Apakah lima tonggak utama yang digariskan dalam pelan hala tuju tersebut?
A: Lima tonggak utama ialah promosi dan pencegahan, saringan serta stratifikasi risiko fibrosis, survelan dan diagnosis, rawatan serta penjagaan sokongan, dan registri, pemantauan serta penilaian. - Q: Berapakah kadar diagnosis kanser hati di Malaysia bagi tempoh 2022 hingga 2024?
A: Kadar diagnosis kanser hati direkodkan sebanyak 8.8 bagi setiap 100,000 lelaki dan 2.6 bagi setiap 100,000 wanita. - Q: Apakah harapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap pelaksanaan inisiatif kesihatan hati ini?
A: KKM berharap pelaksanaan inisiatif ini dapat memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan hati, mempercepat diagnosis, serta membolehkan rawatan dimulakan lebih awal untuk meningkatkan kelangsungan hidup pesakit.