Serangan bertali arus terhadap kepimpinan Pas oleh musuhnya jelas menunjukkan parti itu kini berada dalam keadaan yang agak goyah, dan mudah dijadikan sasaran politik, kata penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Jelasnya, antara faktor yang memungkinkan perkara itu, jelasnya lagi, ialah wujudnya kenyataan dari pelbagai pemimpin parti itu, hingga memberi ruang kepada musuh Pas untuk menimbulkan kecelaruan dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

“Apabila pelbagai pemimpin bercakap misalnya Haji Hadi (Presiden Pas) bercakap tentang isu saman ke atas Sarawak Report, Setiausaha Agung pun cakap benda sama, anak Hadi (Muhammad Khalil) pun cakap soal berkenaan dengan saluran RM90 juta daripada UMNO kepada Pas.

“Bila terlalu ramai cakap wakili Pas itu telah buka ruang kepada serangan daripada musuh parti Pas, seperti PKR misalnya dan Amanah sendiri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka semalam menyerang kepimpinan Pas, Mohammad Tawfik berkata ia telah membuka dimensi politik berbeza memandangkan sebelum ini bekas Timbalan Perdana Menteri mempunyai ‘soft spot’ (lembut hati) terhadap parti itu.

“Boleh saya katakan (sebelum ini) dalam jiwa Anwar ada Pas, sebab itu sebelum ini tak serang secara langsung, tapi hari ini serang dengan jelas, jadi ini sudah tentu ada tak kena dengan Pas pada hari ini,” katanya lagi.

Ditanya sama ada kenyataan Anwar itu bakal memberi kesan kepada pola pengundian Melayu dan Islam di Semenyih, Mohammad Tawfik bersetuju, sambil menambah ia juga akan menimbulkan fenomena perpecahan undi terhadap ketiga-tiga calon dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan, malah Parti Sosialis Malaysia sendiri.

“Maka ini perpecahan yang semakin serius dalam kalangan orang Melayu, khususnya di kalangan majoriti pengundi di Semenyih,” katanya lagi.