KUALA LUMPUR: Pas dilihat tidak sesuai untuk berada dalam mana-mana gabungan politik bersama parti lain.

Itu pandangan Penganalisis Politik Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang mendakwa rekod penyertaan Pas serta sejarah parti itu bersama parti politik lain menunjukkan kerjasama yang digagas gagal dipertahankan.

Malah, kenyataan terbaharu oleh Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Pas akan terus memperkukuhkan hubungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) serta menjalinkan hubungan baik dengan semua kepimpinan politik tersebut di negeri-negeri agak sukar difahami.

"Saya tak nampak formula yang cuba digunakan oleh Pas ini mampu meleraikan ketegangan atau mengekalkan Muafakat Nasional (MN).

"Kita lihat hari ini, Muafakat Nasional tidak berada pada satu keadaan yang menggembirakan dan seolah-olah nyawa-nyawa ikan. Ini sebenarnya yang berlaku kepada MN.

"Kepimpinan parti (Pas) perlu jelaskan lebih terang bagaimana kedudukan MN sekarang (kepada ahli mereka).

"Kalau nyawa-nyawa ikan mahu mati, bubarkan segera. Jangan biarkan ahli-ahli parti atau rakyat tertanya-tanya apa status kedudukan MN sekarang," katanya kepada Astro AWANI.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO dan Pas Selangor telah mengadakan perbincangan untuk memastikan tiada pertembungan sesama mereka di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

BACA: Bukan hanya Selangor, Pas juga akan kekal hubungan baik dengan negeri lain - Abdul Hadi

Mohammad Tawfik menjelaskan bahawa Pas dan UMNO Selangor sudah sedia maklum bahawa musuh mereka pada PRU15 di negeri itu hanyalah Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua pihak perlu menyedari bahawa kepimpinan di peringkat pusat bagi kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu akan membuat keputusan muktamad berkenaan apa sahaja yang telahpun dicapai di peringkat negeri.

"Sukar bagi UMNO Selangor untuk menentukan hala tujunya sendiri tanpa mendapat restu daripada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

"Ini sebenarnya realiti dalam sesebuah organisasi dan mereka perlu akur dengan keputusan MKT bahawa ini adalah dasar yang tidak boleh dilakukan sesuka hati di peringkat negeri," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa jika jalinan kerjasama di antara dua parti itu masih kekal dan utuh di peringkat negeri Selangor, PAS dan UMNO sememangnya akan mendapat manfaat dan kelebihan politik yang besar.

Namun, jelasnya, dalam keadaan gelora dalaman politik MN yang tidak menentu ketika ini, ia akan memburukkan lagi keadaan politik kedua-dua pihak di negeri tersebut.

"Sudah pastinya jika sudah tidak ada kesepakatan yang jelas, PH akan terus mentadbir negeri Selangor dan UMNO dan PAS akan terus berputih mata.

"Inilah kesannya apabila muafakat yang tidak dibentuk atas dasar kesatuan ummah dan orang Melayu.

"Kita lihat parti Melayu terlalu banyak di negara kita. Malu kita orang Melayu kepada kaum lain kerana berpecah belah," katanya.

Justeru, jelasnya, kedua-dua parti itu harus melihat dan menilai semula dasar asal penubuhan atau gabungan MN yang telah ditubuhkan sebelum ini serta perlu menentukan hala tuju sama ada ia diasaskan atas kepentingan orang Melayu dan ummah atau lebih kepada kepentingan politik.