KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menolak gesaan agar Pas keluar daripada gabungan itu susulan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menteri Besar Terengganu itu berkata, PN bukan milik mana-mana parti gabungan secara mutlak, tetapi ia ditubuhkan atas semangat dan dasar muafakat parti pengasas.
Kata Ahmad Samsuri lagi, selaku Pengerusi yang sah, beliau akan memastikan gabungan itu diurus dengan tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta negara.
“Pas juga adalah antara parti pengasas PN dan saya sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN.
“Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak. Ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan antara parti dalam gabungan tersebut perlu ditangani secara matang dan berlandaskan prinsip musyawarah.
Beliau turut memberi peringatan bahawa kenyataan terbuka yang bersifat spekulatif atau mendesak mana-mana parti keluar daripada PN hanya akan merencatkan usaha memperkukuh kesatuan pembangkang.
Kronologi ketegangan dan perkembangan terbaru
Isu hubungan antara Pas dan Bersatu kembali menjadi perhatian selepas Pas melalui Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengumumkan keputusan untuk menamatkan kerjasama politik kedua-dua parti, baru-baru ini.
Perkembangan itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak, termasuk gesaan daripada beberapa pemimpin politik agar Pas mempertimbangkan kedudukan dalam PN sekiranya kerjasama dengan Bersatu tidak lagi dapat diteruskan secara menyeluruh.
Selain itu, tindakan Pas untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu dikaitkan dengan perbezaan pendekatan strategik antara kedua-dua parti dalam mengurus hubungan politik semasa.
Pas didakwa mahu menilai semula bentuk kerjasama yang dilihat tidak lagi selari dengan keutamaan dan hala tuju parti itu, khususnya dalam aspek pengukuhan sokongan di peringkat akar umbi serta hubungan dengan rakan politik lain.
Pada masa sama, keputusan tersebut juga dipercayai mengambil kira keperluan Pas untuk memperkukuh identiti dan kedudukan sendiri dalam landskap politik nasional, terutama selepas PRU15 yang menyaksikan parti itu muncul sebagai komponen terbesar dalam PN.
Penganalisis politik berpendapat langkah itu memberi ruang kepada Pas untuk bergerak lebih bebas dalam menentukan strategi jangka panjang tanpa terlalu bergantung kepada kerangka kerjasama sedia ada bersama Bersatu.
PN ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2020 sebagai gabungan parti-parti politik termasuk Bersatu, Pas dan beberapa parti lain dengan matlamat membentuk kerajaan Persekutuan.
Sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN berperanan sebagai blok pembangkang utama di Parlimen, dengan Pas muncul sebagai komponen terbesar dari segi jumlah kerusi.