KUALA LUMPUR: "Alangkah baiknya kalau perkara ini (gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) yang dimulakan di Perak boleh berlaku di peringkat Persekutuan."

Demikian pandangan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Howard Lee Chuan How ketika ditanya situasi membabitkan Kerajaan Persekutuan pada waktu ini.

Menurutnya, Perak mungkin boleh menjadi contoh kepada negeri dan negara apabila parti yang selama ini dilihat selalu 'berlawan', kini bersatu demi membentuk kerajaan dan pembangunan negeri dan rakyatnya.

"Alangkah baiknya jika dua blok besar, kita tak kata terbesar tapi dua blok besar iaitu PH dan BN mula duduk bersama.

"Duduk bersama untuk fikirkan, laksanakan dan sempurnakan agenda pembangunan negara. Alangkah baiknya…kita dah mula di Perak.

"Alangkah baiknya kalau perkara ini boleh dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan juga," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Mengulas situasi di Perak, Howard Lee menjelaskan keabsahan sokongan dan jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong adalah cukup mantap.

"Keabsahan itu tiada ruang untuk diragukan. Kedua, ia adalah satu mutasi yang baharu, yang tak pernah disaksikan negara, maka ia satu inovasi.

"Dengan inovasi yang telah kita wujudkan, yang baharu, hasil daripada pilihan rakyat, perkara ini diharap dapat dipertimbangkan di negeri lain dan peringkat persekutuan," ujarnya.

Buat pertama kalinya, Kerajaan Negeri Perak terdiri daripada gabungan PH dan BN selepas tiada parti mendapat majoriti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Gabungan itu juga sepakat menamakan ADUM Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar dan melantik 10 Exco, tujuh daripada PH dan tiga daripada BN.

Meskipun Perikatan Nasional (PN) mempunyai jumlah kerusi terbanyak dengan 26 kerusi namun ia masih belum mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan sekurang-kurangnya 30 kerusi.