PADANG SERAI: Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tindakan yang mengecewakan akar umbi UMNO dan orang Melayu.

Menurut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Arau itu, tindakan itu juga mengkhianati keputusan Majlis Kerja Tertinggi serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang tegas menyatakan bahawa tiada kerjasama akan dijalinkan dengan Anwar dan DAP.

"Saya hendak beritahu bahawa banyak orang telah dihukum. Saya sendiri telah di-boo (ketika) Perhimpunan Agung UMNO kerana pada pandangan mereka, (saya) melawan arus.

"Kita dapati bahawa 'No Anwar' dan 'No DAP' adalah (keputusan yang dibuat) di dalam PAU (di mana) ia telah diputuskan dan telah di-endorse di peringkat Majlis Tertinggi (MT).

"Saya nak bertanya, di mana peringkat (yang mengatakan) tidak (kepada keputusan ini), (yang) mengatakan bahawa 'Yes Anwar, Yes DAP'? Ini mengecewakan orang UMNO dan orang Melayu yang menyokong UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui menemani calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkempen di Pasar Malam Sungai Karangan, Kulim, dekat sini, malam tadi.

Tambah Shahidan, kekecewaan dalam kalangan akar umbi UMNO dan orang Melayu itu akan membawa kepada sokongan jitu terhadap PN yang dilihat sebagai wadah terbaik penyatuan ummah.

Mengulas mengenai peluang PN menang di kerusi Parlimen itu, Shahidan berkata, gelombang yang dibawa dari Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri yang menyokong gabungan itu akan berterusan dan mampu membawa kemenangan besar.

Kemenangan itu juga akan menjadi satu manifestasi atau gambaran terbaik penolakan rakyat dan juga akar umbi terhadap gabungan PH dan BN yang membentuk kerajaan ketika ini.

Pada Selasa, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama yang dibentuk antara BN dan PH yang merangkumi DAP pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak akan menghilangkan identiti serta mengabaikan prinsip parti itu.

Justeru, beliau meminta semua pihak memahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk berdepan PRU15, dan bukannya selepas PRU15.