KUALA LUMPUR: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menggesa 30 wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan.

Presiden PINTAR, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, memilih untuk bersikap berkecuali sebenarnya bukan pilihan buat masa ini kerana rakyat dan negara memerlukan kerajaan dibentuk dengan segera.

Tegasnya, PINTAR juga menggesa semua Ahli Parlimen dari UMNO konsisten dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini yang menolak DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Melalui keputusan PRU15 yang ada, pilihan terbaik buat UMNO dan BN adalah untuk memberi sokongan kepada PN untuk bersama-sama membentuk kerajaan.

"Sanjungilah kesediaan parti-parti Sabah Sarawak melalui GPS dan GRS yang telah pun memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan secara bersama.

"Oleh itu, sangat wajar bagi 26 orang ahli-ahli Dewan Rakyat UMNO bahkan 30 orang (sekiranya diambil jumlah seluruh Ahli Parlimen BN) untuk menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, disebabkan tiada parti mendapat majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), adalah lebih munasabah parti memerintah sebelum pilihan raya duduk bersama, berbincang untuk membentuk kerajaan pasca PRU15.

"Melihat kepada perkembangan semasa mengenai pelantikan Perdana Menteri ini, ianya tidak wajar dilengahkan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat khususnya melalui parti-parti yang telah dipilih di dalam PRU15 yang lalu," ujarnya.

Tiga hari selepas PRU15, masih tiada parti mampu membentuk kerajaan apabila semua parti bertanding gagal untuk mendapatkan majoriti kerusi iaitu 112 daripada 222 kerusi.

Esok, seramai 30 Ahli Parlimen BN dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara individu pada jam 10.30 esok (Rabu).

Petang tadi, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Istana Negara masih belum membuat keputusan berhubung jawatan Perdana Menteri, sekali gus memanjangkan lagi episod pembentukan kerajaan pasca PRU15.