KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin parti itu bersama Barisan Nasional (BN) akan kembali berkuasa pada 2027, selepas melalui beberapa episod kekalahan dan krisis politik sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata Dewan Merdeka, lokasi Perhimpunan Agung UMNO (PAU), bukan sekadar menyaksikan kemenangan dan kekalahan parti itu, malah menjadi tempat UMNO menyusun semula kekuatan serta melakar masa depannya.
“Pada tahun 2008 kita kehilangan dua pertiga majoriti. Pada tahun 2018 kita hilang kerajaan. Pada tahun 2026 atau 2027, awal atau pertengahan atau akhir, insya-Allah dewan ini akan menyaksikan UMNO dan BN berkuasa semula.
"Alhamdulillah, Dewan Merdeka ini pernah melihat kemenangan dan kekalahan, itu hakikatnya. Dewan ini juga telah menyaksikan perselisihan dan penyatuan.
"Tetapi Dewan Merdeka ini bukan tempat untuk kita orang-orang UMNO meratapi nasib. Setiap kali kita diuji, di sinilah juga tempatnya kita menyusun semula kekuatan dan melakar masa depan kita sendiri," katanya ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Ahmad Zahid menambah UMNO perlu mengambil setiap ujian yang dilalui sebagai peluang untuk memperkukuh parti dan menentukan hala tuju perjuangannya.
Selain itu, Pengerusi BN itu juga menjangkakan PAU 2026 menjadi perhimpunan terakhir buat parti itu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Beliau turut mengumumkan 'TEKAD 16' dalam usaha untuk memperkasakan parti, mengeratkan saf serta menguasai medan.
“Dan insya-Allah, PAU 2026 kali ini merupakan PAU yang terakhir sebelum PRU yang ke-16. Mari bangun untuk memberikan semangat kepada perwakilan serta ahli dan kepimpinan akar umbi di luar sana.
“Jadi ini terakhir, di hari akhir ini mari kita sama bersetuju mewujudkan 'TEKAD 16'," katanya.
Memperincikan lanjut, Ahmad Zahid berkata 'TEKAD 16' membawa maksud Teguhkan parti; Eratkan saf; Kuasai medan; Anjakkan strategi; serta Dekati rakyat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Agenda Malaysia Biru tidak boleh sekadar kekal sebagai sebuah gagasan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang memberi hasil kepada rakyat.
Beliau menjelaskan lapan agenda berkenaan akan diperincikan menerusi sesi pemprofilan dan pemukiman di Melaka bagi menghasilkan satu blueprint yang lebih komprehensif, praktikal serta mempunyai saranan yang jelas.