KUALA LUMPUR: Keahlian baharu UMNO mencatatkan peningkatan sehingga 3.4 juta ahli membabitkan 21,883 cawangan di 191 bahagian di seluruh negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini menjadikan UMNO masih kekal sebagai parti politik yang terbesar dengan bilangan ahli paling ramai di Malaysia.

Katanya, bilangan ahli teramai mengikut negeri ialah diterajui Sabah iaitu seramai 583,979 ahli, diikuti Johor (451,778); Selangor (421,899) dan Kedah (300,589).

"Bahagian di Sabah mencatatkan bilangan ahli tertinggi iaitu Lahad Datu, Semporna dan Libaran masing-masing merekodkan jumlah seramai 46,570; 40,296 dan 38,131.

"Selain itu, Bahagian Gombak, Selangor turut tersenarai dalam bilangan ahli teramai iaitu seramai 37,851 ahli dan diikuti Baling, Kedah iaitu seramai 37,512 ahli.

"Yang penting, bahagian perlu ramai ahli. Terpenting juga di bahagian itu, pemimpin UMNO yang menang menjadi ahli Parlimen. Kita akan bertanding banyak kerusi, Insya-Allah kita juga akan menang banyak kerusi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Laporan Setiausaha Agung sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, UMNO juga sudah bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak kira bilakah ia akan diadakan.

"Biasanya lepas tiga tahun daripada tarikh satu-satu pilihanraya, parti mesti menumpukan perhatian untuk satu lagi pilihanraya.

"Tarikh tiga tahun ini hanya sebulan sebelas hari sahaja lagi iaitu pada 9 Mei 2021.

"Sehubungan itu, Pengerusi Biro Latihan di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Biro Naziran di bawah Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Jawatankuasa Manifesto di bawah Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semuanya sudah memulakan tanggungjawab gerak kerja di bawah mereka," ujarnya.