KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kebenaran diberikan kerajaan untuk rakyat mengeluarkan wang persaraan RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini.

Jelasnya, usaha itu diterajui UMNO yang mendesak kerajaan membenarkan skim terbabit dalam meringankan beban rakyat selepas pandemik COVID-19.

"Saya amat teruja dan diharapkan kita di barisan pimpinan tertinggi UMNO bukan hanya mendengar tetapi menghayati hasrat mereka.

"Bagaimanapun, kita bersyukur kepada Allah SWT, akhirnya kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka yang layak, mengeluarkan wang simpanan KWSP secara one-off sebanyak RM10,000.

"Terima kasih kepada para pejuang parti yang bersungguh-sungguh memperjuangkan isu ini. Terima kasih juga kita rakamkan kepada Perdana Menteri," jelasnya.

Perhimpunan Agung UMNO 2021

Tambah Ahmad Zahid, sejurus selepas kebenaran terbabit diberikan, terdapat pula pihak pembangkang yang turut menyifatkan desakan pengeluaran itu juga daripada mereka.

"PM, saya dan para perwakilan ingin mengucapkan syabas dan tahniah. Ini suara akar umbi, Datuk Asyraf menyebut dan saya menyebut tapi ada yang tumpang semangkuk.

"Para pembangkang bila dia tahu PM nak sebut, dia pun cakap dia yang minta. Ini suara dari UMNO," ujarnya lagi.