KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyifatkan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebagai aturan dan perencanaan daripada Allah.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti Melayu itu pada peringkat awal selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),  telah pasrah dan bersedia untuk berada di blok pembangkang bagi meneruskan agenda semak dan imbang.

Justeru tegas beliau, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah wajar disokong sepenuhnya.

"Selaku generasi Pemuda Bangkit Kembali, kita tidak harus berterusan rasa gundah gulana, rasa kecewa hingga hilang arah dan berputus asa.

"Kita harus bersyukur kerana Allah masih menyayangi kita. Kita harus sedar dan insaf, walaupun dengan segala kebobrokan dan kepincangan, Allah masih memberi peluang kedua kepada kita.

"Siapa sangka kita masih mampu menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini? Siapa sangka dalam keadaan kita tewas, kita berupaya menjadi sebahagian daripada kerajaan?

"Ini semua aturan Allah. Ini semua perencanaan Allah," katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.

Jelas Asyraf lagi, pendirian membentuk Kerajaan Perpaduan juga adalah sebagai menjunjung titah Yang Dipertuan Agong yang mahukan kestabilan buat negara dan rakyat.

Selain itu, beliau menambah, keputusan itu juga dibuat dengan mengambil kira kepentingan UMNO sebagai parti yang sentiasa mendakap konsep perkongsian kuasa dengan pelbagai kaum, namun tetap tegas mempertahankan sifat keindukan Melayu-Islam Bumiputera.

Asyraf tidak menolak bahawa mungkin ada hikmah sehingga mendorong UMNO membentuk kerjasama politik baharu dalam sebuah gabungan parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum dan etnik.

Oleh kerana itu, beliau berkata UMNO tidak boleh menjadi jumud dan menganggap sesebuah parti itu akan menjadi kawan atau lawan selamanya.

"Kita tidak boleh menjadi tegar dan menganggap permuafakatan politik sedia ada sudah sempurna tanpa mengambil kira realiti dan aspirasi rakyat di luar sana.

"Kita tidak boleh menjadi kolot, dan menganggap segala strategi politik kita selama ini sudah hebat, sedangkan musuh lebih berani meneroka jalan bahkan menangguk di air keruh demi kuasa," katanya.

Begitu pun, Asyraf mengakui kerjasama yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan bukan sesuatu keputusan yang mudah, khususnya bersama dengan parti-parti yang sekian lama menjadi musuh utama UMNO termasuk menerima DAP sebagai teman.

UMNO, katanya lagi, tidak sesekali akan tunduk atau akur pada apa-apa tuntutan yang akan menjejaskan kedudukan Islam, Melayu-Bumiputera dan Institusi Raja-Raja.