KUALA LUMPUR: Usul tambahan mengenai dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang dicadangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) bukanlah usul haram seperti tuduhan yang dilemparkan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, beliau telah meminta nasihat daripada peguam-peguam parti berkaitan perkara itu sebelum ia diluluskan.

"Usul tambahan itu pula bukan usul haram seperti tuduhan. Setelah episod ucapan dan cadangan wakil Negeri Sembilan yang disokong wakil Terengganu, saya telah meminta nasihat peguam-peguam UMNO.

"Mereka menyatakan kaedah usul itu dibolehkan seperti peraturan Persidangan UMNO Perkara 20," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Pada Sabtu, Astro AWANI melaporkan, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan selepas mendapat sokongan oleh hampir kesemua perwakilan yang terlibat.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan usul berkenaan adalah mematuhi perundangan dan Perlembagaan Parti.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana ahli atau pemimpin UMNO boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi meneliti semula keputusan meluluskan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

Ini kerana jelas Ismail, terdapat dua pandangan berbeza berhubung kelulusan berkenaan disebabkan ada segelintir mengatakan ia dibolehkan kerana diputuskan dalam PAU, sebagai badan tertinggi dalam parti.

Begitupun, katanya terdapat satu lagi pandangan bahawa jawatan seperti Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu dipilih setiap tiga tahun.