KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi mengenai usaha mewujudkan persefahaman serta kerjasama antara kedua-dua parti.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu dalam kenyataan bersama hari ini memberitahu persepakatan itu dicapai hasil pertemuan antara kedua-dua parti semalam.

Kenyataan itu memaklumkan persefahaman dan kerjasama yang dibincangkan antara parti adalah berdasarkan tiga asas iaitu menyahut seruan akar umbi yang mahu parti tersebut menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang kaum.

"Dua asas lain adalah kesinambungan kepada cadangan persefahaman dan kerjasama parti sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020 serta mengukuhkan kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," menurut kenyataan itu.

Selain Julita, wakil PBS yang akan ke perbincangan itu adalah Ketua Penerangan parti Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pergerakan Wanita Datin Malianah Ugau dan Ketua Pergerakan Pemuda Christoper Mandut.

Mewakili STAR pula adalah Naib Presiden parti Dr Paul Porodong, Ketua Penerangan STAR Datuk Jalumin Bayogoh, Ketua Pergerakan Wanita STAR Datuk Flovia Ng, Ketua Pergerakan Pemuda STAR Kong Soon Choi serta Edward sendiri.

"Mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

PBS dan STAR merupakan parti komponen GRS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

-- BERNAMA