Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang mendakwa presiden Amanah itu menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata peguam Mohamad akan menghantar notis undang-undang kepada Khairy dalam jangka masa terdekat.

Amin berkata Mohamad telah mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan tersebut sebelum ini dan tindakan Khairy mengulangi tuduhan itu merupakan satu fitnah.

"Dalam satu kenyataan pada sidang media di Kampung Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang hari ini, bekas ketua Pemuda UMNO itu mengeluarkan kenyataan fitnah yang mengatakan menteri pertahanan menggunakan jentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) sempena PRK di Cameron Highlands.

"Khairy terus mengeluarkan kenyataan fitnah ini walaupun Kementerian Pertahanan sudah pun menjelaskan mengenai perkara ini dalam satu kenyataan pada 15 Januari 2019 yang lalu.

"Peguam peribadi kepada menteri pertahanan akan menghantar notis tuntutan kepada Khairy dalam jangka masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung dakwaan Mohamad menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen di Cameron Highlands.

Kenyataan itu menyebut, Mohamad menggunakan helikopter ketika lawatan rasmi ke Kem Slim di Cameron Highlands sebelum hari penamaan calon PRK Parlimen Cameron Highlands.

Mohamad dilaporkan telah kembali ke Kuala Lumpur pada hari yang sama dan kembali ke Cameron Highlands pada hari penamaan dengan menggunakan kenderaan peribadi.

Kenyataan Kementerian Pertahanan itu juga menjelaskan anggota tentera di kem tersebut merupakan pengundi di Sungai Petani, Kedah.