'Kalau Bossku balik rumah hari ini, saya masak sup kicap' - Tukang masak peribadi Najib Razak

Jaafar berkata dia sudah bersedia untuk menyediakan hidangan kegemaran majikannya, sup kicap, sekiranya Najib dibenarkan pulang ke rumah. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tukang masak peribadi Datuk Seri Najib Razak, Jaafar Ishak, meluahkan harapan tinggi agar bekas Perdana Menteri itu dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di rumah, susulan keputusan penting Mahkamah Tinggi yang dijadual diumumkan hari ini.
Jaafar, 79, yang telah berkhidmat bersama keluarga Najib sejak tahun 1987, berkata dia sudah bersedia untuk menyediakan hidangan kegemaran majikannya, sup kicap, sekiranya Najib dibenarkan pulang ke rumah.
“Sup kicap memang kegemaran beliau. Hidangan itu ringkas, tapi sangat digemari. Selain itu, gulai kawah dan puding raja juga antara menu yang disukai keluarga beliau,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Kalau Bossku balik rumah hari ini, saya akan masak sup kicap kegemaran beliau,” tambahnya dengan nada penuh harapan.
Jaafar turut berkongsi sisi peribadi Najib di rumah, menggambarkan beliau sebagai seorang yang tenang dan jarang menunjukkan kemarahan.
“Dia bukan jenis yang marah-marah. Sangat sabar dan tenang orangnya,” katanya ringkas.
Hari ini menandakan detik penting dalam perjalanan undang-undang Najib Razak apabila Mahkamah Tinggi dijadual menyampaikan keputusan sama ada Titah Adendum yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah adalah sah dan boleh dikuatkuasakan.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


