Perwatakan sederhana dan toleransi Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dalam menyelesaikan isu berkaitan agama sebelum ini dipercayai mampu membantu memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata Mufti Wilayah Persekutuan itu adalah seorang ulama yang berkebolehan, dalam urusan beragama mahupun masyarakat merentasi parti politik.

"Kedudukan beliau sebagai non-partisan boleh mengukuhkan lagi keyakinan rakyat, dalam menguruskan cita-cita perpaduan ummah dalam negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, pada Isnin.

Mahmood Zuhdi berkata pelantikan Zulkifli juga akan memberi peluang kepada lebih ramai para teknokrat, untuk mentadbir hal ehwal Islam tanpa tekanan pengaruh politik kepartian yang sebelum ini memberi kesan kepada kelancaran di peringkat pusat dan negeri.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Dr Roslan Mohd Nor pula berharap Zulkifli dapat menggalas tanggungjawab menteri, yang menjaga kepentingan Islam dengan beramanah selain mengharapkan rakyat, memberikan sokongan sepenuhnya kepada polisi yang akan diperkenalkan nanti.

Beliau turut berharap anak kelahiran Terengganu itu juga, dapat mengadakan lebih banyak pintu dialog bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan Islam di negara ini, supaya agenda dan usaha mendaulatkan Islam dapat terus diperkasakan.

-- BERNAMA