Skip to main content

Politik

Peletakan jawatan Nurul Izzah ditolak MPP - Fahmi Fadzil

Fahmi Fadzil -- Kredit: Astro AWANI
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti itu, kata Fahmi Fadzil. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Nurul Izzah memohon masa untuk menguruskan diri, selain menyiapkan dan meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menambah, tugas dan tanggungjawab Timbalan Presiden PKR akan digalas sementara oleh Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Dalam mesyuarat MPP tempoh hari, MPP telah memutuskan kita tidak menerima peletakan jawatan beliau mengundur diri kerana beliau meminta masa untuk, seperti kenyataan beliau sendiri, antara lain mengurus diri dan juga menyiapkan, meneruskan pendidikan PhD.

"Jadi kita beri beliau masa dan tugas serta tanggungjawab Timbalan Presiden, fungsi-fungsi Timbalan Presiden akan digalas oleh Naib Presiden," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kempen Internet Selamat MCMC bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan perjalanan dan gerak kerja parti tidak terjejas berikutan keputusan berkenaan, malah Nurul Izzah kekal sebagai anggota PKR dan akan terus membantu parti dalam perjuangan.

"Jadi kerja tetap berjalan. Nurul Izzah kekal sebagai anggota parti dan akan terus membantu parti dalam perjuangan, tidak menjadi masalah," tambahnya.

Pada Khamis lalu, media melaporkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memohon mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Fahmi dalam kenyataan berkata selepas mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP PKR bersetuju memberi cuti sementara kepada beliau.

Ujarnya, cuti sementara itu akan bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan.

Must Watch Video

Advertisement