KUCHING: Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin serta wakil parti pembangkang, telah meminta perbincangan berkaitan isu peruntukan ditangguhkan kepada minggu hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata perbincangan yang melibatkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, sepatutnya diadakan pada Selasa lepas.

"Sepatutnya Selasa lepas, semua wakil parti iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS), Datuk Hamzah dan Datuk Seri Ronald Kiandee (Bersatu), tapi mereka minta tangguh kerana Takiyuddin ada urusan penting di Kota Bharu.

"Jadi mungkin minggu depanlah, (tarikh) belum ada lagi sebab tunggu mereka tetapkan. Saya sebelum ini memang dah tetapkan Selasa lepas," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengagihan Bubur Lambuk di Surau Al-Hidayah, Petra Jaya di sini, hari ini.

Fadillah berkata perbincangan berkenaan, akan turut memperincikan permohonan pihak pembangkang kepada kerajaan termasuklah sebarang bentuk kerjasama yang boleh terjalin antara kedua-dua pihak.

"(Selepas itu) Barulah saya akan bentangkan kepada kerajaan untuk dibincangkan, kemudian barulah berlaku perundingan," katanya.

Dalam pada itu, Fadillah menafikan dakwaan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mengatakan kawasannya belum menerima sebarang peruntukan.

"Peruntukan kepadanya sebagai Ahli Parlimen belum ada, tetapi peruntukan di kawasan Parlimen ada. Dia (Syed Saddiq) baru jumpa saya dua kali... (Namun) Saya nak bincang dengan ketua pembangkang (Hamzah) dahulu," katanya.

Pada Khamis, Syed Saddiq dilaporkan berkata demikian dalam pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat seperti disiarkan di laman web Parlimen.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu turut mendakwa, beliau sudah tiga kali berunding berkaitan perkara itu dengan Timbalan Perdana Menteri.

Bagi menjawab soalan berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis berkata lebih RM300 juta disalurkan menerusi pelaksanaan puluhan projek di Parlimen Muar.

-- BERNAMA