Pembangunan di bandar Kuantan tidak boleh mengabaikan aspek kelestarian kerana bandar ini telah menandatangani Local Agenda 21 (LA21) yang bermatlamat merancang dan menguruskan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mapan dan lestari.

Secara asasnya, LA21 berasal dari persidangan Earth Summit di Rio de Janeiro pada 1992 yang menekankan kepentingan melindungi alam sekitar untuk mewujudkan pembangunan yang seimbang, mapan dan lestari.

Mengambil kira LA21 ini, calon Parlimen Kuantan P083, Fuziah Salleh berkata, terdapat dua isu pembangunan utama yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak dua penggal lalu iaitu perlombongan haram bauksit dan ketiadaan Pusat Pelupusan Kekal bagi menguruskan sisa radioaktif hasil ekstrak nadir bumi milik syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd.

“Perlombongan haram bauksit menyebabkan bandar Kuantan menjadi seakan muka bumi Marikh dan kesan merah menyelubungi sebahagian besar kawasan menyebabkan penduduk tidak selesa selain mencemar sumber air minuman warga Kuantan.

"Ketika itu, saya sedar bahawa pembangunan di Kuantan telah menghala ke arah yang salah dan bertentangan dengan Local Agenda 21 yang ditandatangani oleh bandar ini,” katanya.

Isu pembangunan Kuantan yang mapan dan lestari sentiasa diperjelaskan kepada warga Kuantan supaya wujud pembangunan yang seimbang. - Gambar Astro AWANI

Bagi sisa radioaktif Lynas pula, walaupun ia mempunyai tahap radioaktif yang rendah, sisa radioaktif itu mempunyai jangka hayat yang sangat panjang dan sisa tersebut tidak boleh dihantar balik ke Australia.

Keadaan ini menjadikan perjuangan pembangkang di Kuantan masih relevan berikutan ancaman sisa radioaktif Lynas ini.

“Adakah pembangunan seperti ini yang pengundi Kuantan mahukan? Ini kerana, masalah pengurusan sisa radioaktif tersebut masih belum selesai berikutan ketiadaan Pusat Pelupusan Kekal.

"Sejak dua penggal lalu, isu-isu pembangunan yang mengabaikan aspek kelestarian bandar Kuantan telah saya bawa ke Parlimen kerana ia adalah suara warga Kuantan yang mahu bandar ini mengamalkan pembangunan mapan dan lestari.

“Perlombongan bauksit dan kewujudkan Lynas adalah bukti jelas bagaimana pembangunan dirancang di Kuantan dan pengundi boleh menilai adakah ia menepati Local Agenda 21?,” soal Fuziah.

Mengulas lanjut, Fuziah mendedahkan bagaimana Pusat Khidmat Keadilan Kuantan melaksanakan perkhidmatan kepada pengundi di dalam keadaan wakil rakyat pembangkang dinafikan peruntukan untuk membela nasib rakyat.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Pusat Khidmat Keadilan berjaya menyelesaikan lebih 12,000 aduan warga Kuantan sepanjang dua penggal menjadi Ahli Parlimen Kuantan.

“Isu pembangunan di Tanjung Lumpur misalnya, memperlihatkan aspek pembangunan yang tidak setara dengan infrastruktur yang dibina. Ketidakseimbangan pembangunan dan infrastruktur ini menyebabkan masalah banjir lebih teruk berlaku di Tanjung Lumpur.

“Inilah yang ingin diperjuangkan oleh blok pembangkang dalam menyediakan penduduk ke arah kehidupan lebih selesa dengan infrastruktur yang setanding dengan pembangunan yang dibawa ke kawasan tersebut,” tegas Fuziah.

Pelbagai isu alam sekitar ini adalah antara pencetus semangat perjuangan beliau untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini selepas memenangi sejak dua penggal lalu.

Fuziah dicabar oleh calon Barisan Nasional, Datuk Andrew Wong Kean Hwee dan Sulaiman Md Derus (Pas).