KUALA LUMPUR: Satu majlis mengangkat sumpah Senator Dewan Negara dijadual berlangsung di Parlimen esok.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat mengesahkan majlis itu akan berlangsung pada jam 8.30 pagi.

“Senarai embargo pagi esok. Majlis jam 8.30 pagi,” katanya di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, sumber Parlimen pula memberitahu, pegawai Dewan Negara telah diminta untuk melakukan persediaan bagi upacara berkenaan sejak awal pagi tadi.

Begitupun, Majlis Angkat Sumpah berkenaan hanya akan diadakan sebaik pengesahan sekiranya terdapat senator yang dilantik sebagai menteri Kabinet selepas pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 8.15 malam ini.

"Sebab jangkaan kalau ada senator.. tetapi kami diminta bersiap sedia sahaja.

"Angkat sumpah Senator dulu (jika ada) dan selepas itu baru boleh angkat sumpah sebagai menteri Kabinet.

"Kalau ada senator diumum sebagai menteri Kabinet, individu itu memerlukan mengangkat sumpah pagi esok.

"Kami terima arahan daripada pejabat Setiausaha Dewan Negara untuk bersiap sedia kerana Majlis Angkat Sumpah ini dikendalikan oleh mereka," kata sumber itu.

Dalam pada itu, sebuah portal berita Bahasa Inggeris melaporkan antara nama yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Senator ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang tewas dalam saingan di kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, yang tewas di kerusi Parlimen Simpang Renggang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Portal itu turut melaporkan, seorang lagi yang dijangka mengangkat sumpah sebagai Senator ialah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.