Pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan penyelesaian masalah yang membelenggu parti selama hampir dua tahun.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, keputusan majlis tertinggi untuk mengambil tindakan terhadap bekas pemimpin parti itu merupakan usaha kepada langkah pengukuhan UMNO sendiri.

"Pemecatan dua pemimpin ini merupakan hari yang sedih tetapi ianya harus dilakukan. Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukannya dengan hati yang cukup berat.

"Tetapi untuk menakhoda parti yang menjadi naungan rakyat dan Melayu khususnya ianya terpaksa dilakukan," jelasnya.

Bastien berkata, sekiranya ia berlaku kepada Muhyiddin dan Mukhriz, beliau percaya mereka juga akan melakukan perkara yang sama.

"UMNO adalah sebuah parti yang menjadi tempat orang Melayu berpayung. Mereka meletakkan harapan yang tinggi untuk wadah ini memperjuangkan segala kepentingan yang berkait rapat dengan kehidupan harian mereka. Sudah tentu parti ini perlu dijaga oleh pemimpinnya mahupun ahlinya.

"Kita mempunyai tempoh lebih kurang dua tahun atau kurang sahaja dan permasalahan yang berlarutan ini jika tidak dibuat sebarang keputusan akhirnya akan menjejas kedudukan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Sekiranya segala tuduhan yang dibangkitkan ada kebenarannya dan dapat dibuktikan, percayalah UMNO sendiri akan mengatasinya. Ini telah dilalui parti dalam krisis yang melanda pada tahun 1986, 1990 dan 1999," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Bastien mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Jumaat yang membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz kerana berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.

Sementara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, digantung keahlian sehingga laporan diterima daripada Jawatankuasa Disiplin.

Dalam pada itu kata Bastien, ahli UMNO perlu meilhat ke hadapan dan bergerak ke arah meraih kembali keyakinan rakyat agar memberi mandat yang lebih besar pada PRU ke-14.

"Agenda yang lebih besar seperti kedudukan orang Melayu, ekonomi, pendidikan dan keupayaan kita melindungi rakyat minoriti perlulah menjadi keutamaan parti yang menerajui negara.

"Ini akan meletakkan parti kita di hadapan dari segi keupayaan untuk terus mentadbir negara. Kita mahu melupakan episod tersebut melihat kepada perkara yang lebih besar untuk rakyat," jelasnya.

Oleh yang demikian tegas Bastien, rakyat perlu meletakkan harapan yang tinggi kepada Najib untuk mengupayakan barisan Kabinet yang mantap dan berkebolehan.

"Ini penting bagi meraih keyakinan rakyat. Barisan Kabinet yang bersih, berupaya dan menambah nilai ini akan memberi refleksi kepada keutamaan kita selaku parti yang menerajui negara.

"Kabinet yang menyelesaikan masalah rakyat memerlukan menteri yang berani memperjuangkan hak rakyat. Kabinet yang menyebelahi rakyat akan menyediakan kemudahan kepada rakyat tanpa membebankan semua. Kualiti kepimpinan Kabinet yang beginilah boleh menjadi sandaran rakyat.

"Jika Najib berjaya melakukan ini, pasti rakyat akan memberi mandat yang lebih besar seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang lalu," katanya.