KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai caretaker (sementara) sehingga pemilihan dan mesyuarat Agung UMNO 2021 dijalankan.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menurut laporan Utusan Malaysia hari ini yang memetik Ketua Pengarahnya Jasri Kasim.

Katanya, MKT yang diketuai Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti dalam tempoh sebelum pemilihan diadakan.

“Pada masa ini (kepemimpinan UMNO) seperti caretaker sahaja, hanya boleh buat pengurusan administrative atau pentadbiran biasa parti.

“Dari segi pelaksanaan (atau segala) keputusan dasar kena bawa ke perhimpunan agung dahulu kerana dia lebih kepada caretaker sahaja,” beliau dipetik berkata akhbar tersebut.

Jasri menambah, pihaknya juga menyangkal ura-ura bahawa parti itu boleh dibatalkan dengan mudah memandangkan ia masih diterajui Pengerusi Tetap dalam tempoh fungsi kepemimpinan MKT ketika ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, RoS telah menerima surat penjelasan daripada UMNO berhubung keputusan penangguhan pemilihan 18 bulan.

Keputusan tersebut sebelum ini dianggap tidak sah oleh RoS memandangkan ia dibuat selepas tamat tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 pada 30 Jun lalu.

Katanya, RoS akan meneliti dan mengkaji surat penjelasan yang diterima itu terlebih dahulu kerana parti itu ada mengemukakan maklumat-maklumat baharu.

“Saya sudah bercakap perkara ini kepada pihak UMNO bahawa isu ini straight forward sahaja, kita dah dengar penjelasan mereka dan akan teliti satu persatu.

“Mereka juga tidak mengemukakan lagi cadangan tarikh baharu pemilihan parti dan Mesyuarat Agung UMNO 2021 yang akan diadakan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia lagi.

Bagaimanapun, segala intipati surat penjelasan itu tidak boleh didedahkan, jelas Jasri.

Pemilihan UMNO sepatutnya cukup tempoh untuk diadakan semula memandangkan 30 Jun lalu telah genap tiga tahun selepas pemilihan terakhir diadakan pada 30 Jun 2018.

Jumaat lalu, RoS berkata, keputusan UMNO menangguhkan pemilihan jawatan parti itu di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian, dan MKT pada tahun ini, adalah tidak sah.

Sebelum itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu sudah memaklumkan kepada RoS mengenai penangguhan pemilihan parti melalui surat bertarikh 24 Jun 2021.

Ahmad berkata, MKT dalam mesyuaratnya bersetuju menangguhkan pemilihan atau mesyuarat parti selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.