KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR bagi sesi 2025-2028.


Ringkasan AI
  • Menteri Besar Selangor mengesahkan penyertaannya dalam pemilihan PKR 2025-2028 dengan matlamat memperkukuh parti sebagai paksi reformasi dan teras Kerajaan Perpaduan.
  • Tema kempen Reformasi Cita Bangsa Amirudin membawa gagasan yang selari dengan tema Bersama Membina Parti Kita oleh calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar, dengan fokus memperkemaskan kepimpinan menjelang pilihan raya umum.
  • Beliau menyeru anggota parti memperkuat gerak jentera serta hubungan dengan parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi menyusun strategi kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-16.


Amirudin dalam kenyataan berkata, hasrat tersebut sejajar dengan prinsip untuk memperkukuh PKR sebagai parti politik unggul, paksi reformasi serta teras Kerajaan Perpaduan.

Katanya lagi, pemilihan PKR 2025 menyaksikan peluang bagi memperkukuh serta memperkemas saf kepimpinan parti menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Matlamat utama pemilihan kali ini adalah untuk membentuk satu pasukan yang berkeupayaan melaksanakan cita-cita reformasi serta berkhidmat dan bekerja mendokong kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk penggal kedua.

"Dengan tema kempen ‘Reformasi Cita Bangsa’, saya membawa gagasan yang sejajar tema ‘Bersama Membina Parti Kita’ oleh calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gombak itu berkata dalam tempoh kempen, beliau akan mengulas dan membentangkan gagasan 'Reformasi Cita Bangsa' kepada seluruh anggota PKR.

Dalam masa sama, Amirudin menambah anggota parti perlu mempergiatkan gerak jentera serta merapatkan saf, disamping memperkuat hubungan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan bagi menyusun langkah memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setakat semalam, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing bagi merebut jawatan Naib Presiden termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.