POLITICS
Pemilihan PKR 2025: Demi kestabilan parti, Saifuddin tidak bertanding

Menurut Saifuddin, keputusannya untuk tidak bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini dibuat bagi menjaga kestabilan dan perpaduan parti. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, keputusannya untuk tidak bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini dibuat bagi menjaga kestabilan dan perpaduan parti.
Menurut Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu, tumpuannya kini adalah untuk memastikan PKR kekal kukuh sebagai parti yang menjadi tunjang Kerajaan MADANI.
“Saya ini orang lama yang agak sentimental dan nostalgik. Sebagai pendiri parti, saya mahu tengok parti ini kuat.
“Pemilihan kali ini berbeza kerana kita kini kerajaan di peringkat Pusat, bukan sekadar kerajaan negeri seperti sebelum ini. Dulu hanya di Selangor dan Negeri Sembilan sahaja,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, nama Saifuddin disebut-sebut bakal bertanding kerusi Timbalan Presiden PRK yang kini disandang oleh Rafizi.
Selain Saifuddin, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh sudah mengumumkan keputusannya untuk mencabar kedudukan Rafizi dalam Pemilihan PKR pada 23 Mei ini.
Tambahnya, keutamaan beliau kini adalah memastikan pemilihan parti tidak mengundang perpecahan, sebaliknya menjadi ruang untuk memperkukuh solidariti dalaman.
“Pendirian saya ialah pemilihan dalam parti bukan ‘us versus them’, tapi ‘we are together’. Kalau ada mentaliti bertanding untuk mengalahkan pihak lawan dalam parti sendiri, ia hanya menyumbang kepada perpecahan.
“Jadi, saya ikhtiarkan untuk buat engagement secara berterusan dengan pimpinan utama seperti Rafizi, Nurul Izzah dan yang lain.
“Saya tidak boleh kawal keputusan orang lain, tapi saya boleh kawal keputusan saya. Maka, keputusan terbaik bagi saya ialah tidak bertanding,” ujarnya.
Saifuddin turut menyifatkan, beliau masih memainkan peranan penting dalam gabungan PH, termasuk sebagai Ketua Setiausaha dan ahli Biro Politik PKR.
“Saya masih bertanggungjawab kepada empat parti dalam PH. Saya urus ‘engine room’ pentadbiran harian. Jadi, saya masih boleh menyumbang dengan cara itu,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami