POLITICS
Pemilihan PKR: Enggan rasmi kongres AMK dan Wanita, Rafizi mungkin ada maksud tersirat - Sumber

Sumber memaklumkan, secara logiknya pemilihan PKR kali ini tertumpu ke arah pertembungan di antara Rafizi melawan Nurul Izzah dan Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (yang turut bertanding untuk jawatan Naib Presiden). - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan awal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Rafizi Ramli untuk tidak merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita pada 21 Mei depan di Johor Bahru mungkin untuk membaca sentimen di akar umbi terlebih dahulu.
Ringkasan AI
- Rafizi Ramli belum pasti akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita, mungkin untuk menguji sentimen akar umbi atau memberi ruang kepada calon pilihannya.
- Tindakan ini dikaitkan dengan strategi politik menghadapi pemilihan parti, termasuk persaingan antara Rafizi, Nurul Izzah dan Ramanan Ramakrishnan.
- Penganalisis bimbang pertembungan dalaman ini boleh menjejaskan imej PKR dan menimbulkan risiko perpecahan dalam parti.
“Seperti mana beliau pernah cakap secara terbuka sebelum ini untuk para perwakilan mengundi Nurul Izzah Anwar (bagi jawatan Timbalan Presiden), dan pada Jelajah Hiruk seterusnya beliau suruh kita untuk menangkap maksud yang tersirat,” menurut sumber itu lagi.
Sebelum ini beberapa media melaporkan kenyataan awal Rafizi untuk tidak merasmikan kongres dua sayap tersebut, biarpun secara tradisi ia dilakukan oleh Timbalan Presiden parti.
Perkara itu disahkan oleh Bendahari AMK, Mohd Hilmy Yakap yang berkongsi kenyataan Rafizi berbunyi – “Dukacita saya maklumkan bahawa saya tidak berhasrat untuk memenuhi undangan (perasmian) ini” dalam media sosialnya.
Pada Ahad, media melaporkan penyandang Ketua AMK Adam Adli mengesahkan menerima salinan surat oleh Rafizi kepada Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan beliau menolak undangan tersebut.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR, Fuziah Saleh berkata, perkara itu belum disahkan sepenuhnya.
Dalam pada itu, sumber tersebut memberitahu Astro AWANI, kemungkinan lain ialah Rafizi tidak begitu cenderung untuk merasmikan kongres tersebut, terutamanya AMK, kerana beliau ingin memberi tumpuan kepada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Mungkin juga beliau tidak begitu cenderung dengan AMK kali ini kerana beliau mahu memberi tumpuan kepada isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang.
“Atau mungkin juga beliau hendak memastikan sekurang-kurangnya salah seorang calon beliau untuk jawatan Naib Presiden dapat peluang merasmikan kongres AMK, untuk beliau sendiri mendapat sokongan dari AMK,” katanya lagi.
Tambah beliau, secara logiknya pemilihan kali ini tertumpu ke arah pertembungan di antara Rafizi melawan Nurul Izzah dan Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (yang turut bertanding untuk jawatan Naib Presiden).
“Jadi, cara lain untuk mengawal Ramanan, ialah dengan Rafizi memastikan calon pilihan beliau sendiri berjaya dipilih oleh perwakilan, bukan sekadar lantikan,” menurut sumber itu lagi.
Pegawai kepada Rafizi memberitahu Astro AWANI, Menteri Ekonomi itu akan menjawab persoalan tentang perasmian kongres sayap pada Jelajah Hiruk di Ipoh, Perak malam ini (18 Mei).
Mengikut kenyataan rasmi parti, perasmian Kongres AMK dan Wanita jatuh pada 21 Mei, disusuli persidangan kedua-dua sayap tersebut pada 22 dan 23 Mei, manakala pengundian dan perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 pada 23 Mei.
Keputusan pemilihan dijangka dapat diketahui pada malam 23 Mei (Jumaat) atau keesokan harinya sewaktu kongres nasional berlangsung
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar sewaktu bersiaran bersama Astro AWANI dalam program Fokus Minggu Hadapan berkata, beliau melihat pertembungan ideologi dalam pemilihan kali ini akan memberi implikasi negatif dan serius kepada imej parti itu sendiri.
“Saya melihat pertembungan kali ini agak memberikan implikasi negatif dan serius terutamanya kerana kita tahu konotasi ataupun kenyataan tegas oleh saudara Rafizi sendiri, sekiranya beliau tewas, beliau akan mengusulkan ataupun meletakkan jawatan menteri.
“Mudah ceritanya akan berlaku wishful cabinet ataupun penyusunan semula kabinet, itu satu hal yang lain, tetapi bagaimana (pimpinan) nak menguruskan persepsi terhadap parti kerajaan yang sedang berantakan ini.
“Jadi mesej apa yang ingin dibawa oleh Parti Keadilan ini perlu jelas untuk mereka menghadapi cabaran dalam Pilihan Raya Umum ke-16 nanti, yang mana kita tahu bahawa saya nak fokus ke sini, yang ditakuti oleh parti Kerajaan ini sebab apa yang berlaku pertembungan dalaman ini, akan melahirkan bibit-bibit perpecahan dalam parti,” katanya lagi.
Hisomuddin berkata, persoalan juga timbul sekiranya Anwar mampu menangani kesan perpecahan pasca pemilihan ini dengan adil, apatah lagi ia dibelenggu dengan naratif seperti nepotisme dan sebagainya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami